Kesan Memakan Makanan Haram atau Syubhah

Pemahaman mengenai pentingnya memilih makanan memang diketahui umum. Kita suka memilih makanan kegemaran mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing.
Bagaimanapun, ramai yang hanya melihat kelazatan dan khasiat tanpa meneliti sejauh mana kesesuaiannya untuk dimakan, terutama dari segi kebersihan dan halal menurut syariat. Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis diriwayatkan Muslim bersabda yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu”.

 
Baginda kemudian menyebut seorang lelaki yang sedang berjalan jauh dengan keadaan kusut masai rambutnya dan berlumuran debu sedang dua tangannya menadah ke langit sambil berdoa “Ya Tuhanku, pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, maka betapakah boleh diperkenankan Allah doanya.”
Makanan yang suci dan bersih menjamin kesihatan yang baik. Justeru, di samping memilih makanan berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan soal kebersihan dan kesuciannya dari segi syariat agama.
Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis diriwayatkan at-Tirmizi yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.” 
 
Islam sangat syumul dalam pemilihan makanan dengan menekankan yang bersih dan halal. Dalam surah al-Nahl ayat 114-115, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah Allah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging **** dan binatang sembelihan bukan kerana Allah. Maka, sesiapa dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang.”

Makanan haram sama ada daripada bahan yang dicampur najis dan benda syubhah atau daripada punca yang tidak halal dan syubhah boleh mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakannya.

Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia berasa lebih gemar melakukan kejahatan dan maksiat dan bencikan kerja-kerja kebajikan dan ketaatan.

Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan Allah s.w.t. dan

Ketiga, ia akan menyebabkan dia mendapat seksaan neraka di akhirat kelak.
Allah s.w.t murka kepada hamba-Nya yang suka melampaui batas, termasuk dalam soal pemilihan, adab dan cara makan.

Sebagai balasan, Allah s.w.t. akan menurunkan pelbagai wabak penyakit, sama ada ia akan menyerang manusia secara keseluruhan atau menyerang individu yang berpunca daripada kelalaian dan kealpaan manusia mengurus diri untuk menikmati kurniaan Allah s.w.t.
Marilah kita menitikberatkan soal pemakanan demi kebahagian kita sekeluarga