FIRMAN Allah bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Maka, sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedangkan dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah ayat 173)
Makan dan minum adalah suatu perkara yang harus sifatnya bagi manusia. Oleh itu, ada suruhan dan larangan daripada Allah bagi aspek pemakanan manusia. Ia adalah peraturan bagi memelihara daripada terjebak dalam kemudaratan terhadap kesihatan fizikal dan rohani. Makanan tidak halal secara maknawiyah amat memberi kesan kepada pembentukan sahsiah diri dan ahli keluarga. Islam menganjurkan agar umatnya berhati-hati dalam pengambilan sebarang bentuk pemakanan.
Begitu juga dengan sumber makanan atau rezeki yang disuapkan ke dalam mulutnya. Unsur riba, rasuah, perjudian dan hasil haram lain wajib dielakkan.
Allah membuat penegasan bahawa rezeki yang diperoleh dengan cara yang tidak halal akan diberi balasan yang setimpal di akhirat nanti.
Firman-Nya bermaksud: Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba, padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang yang kafir antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah an-Nisa ayat 161)
Rezeki daripada hasil haram akan menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Setiap suap makanan yang tidak halal, diisi ke perut akan memberikan kesan kepada tindakannya. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: Setiap daging yang tumbuh daripada makanan (sumber) yang haram, maka api nerakalah yang paling layak baginya.
Perilaku seseorang akan berubah dengan sikap atau perangai yang buruk. Tindakannya akan menjurus kepada hawa nafsu dan mengikut telunjuk syaitan.
Ingatan ini turut dirakamkan menerusi firman-Nya bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh kamu yang terang nyata bagi kamu. Ia akan menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) kamu supaya berkata (dusta) terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya). (Surah al-Baqarah ayat 168-169).
Makanan yang halal menjadi syarat utama bagi kesucian amal yang akan diterima oleh Allah. Orang yang beriman digesa agar segala amalnya bersih, jiwa dan hatinya digerakkan oleh kekuatan darah yang bersih. Sumbernya pula mestilah halal dan tubuh badannya dijauhi daripada hiasan pakaian yang bersumberkan yang haram.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani dari Ibn Abbas, katanya: Pernah aku membaca di sisi Rasulullah ayat al-Quran (bermaksud): Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik. (Surah al-Baqarah ayat 168).
Kemudian Saad Bin Abi Waqqas bangun seraya berkata: Ya Rasulullah! Aku memohon kepada Allah supaya dijadikan aku orang yang diperkenankan doanya. Lantas baginda bersabda : Wahai Saad! Baguskanlah (Makanlah) makanan engkau, nescaya engkau adalah orang yang diperkenankan doa (permintaan). Dan demi diri Muhammad di tangannya, sesungguhnya seorang hamba yang menyuapkan sesuap makanan haram ke perutnya, Allah tidak menerima amalnya 40 hari. Dan sesiapa di kalangan hamba Allah yang tumbuh dagingnya dari makanan yang haram, maka api neraka yang lebih layak baginya.
Menurut riwayat yang lain, Saad Bin Abi Waqqas yang terkenal sebagai sahabat Baginda yang diperkenankan doanya. Beliau berkata: Bahawa aku tidak pernah mengangkat sesuap makanan ke mulutku melainkan aku tahu dari mana datangnya dan dari mana keluarnya.
Sabda Rasulullah daripada Abu Hurairah bermaksud: Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang mukmin apa-apa yang Dia perintahkan kepada Rasul.
Maka, Allah berfirman bermaksud: Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakan amal-amal yang soleh. Dan Dia berfirman: Wahai orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.
Kemudian ia menyebutkan seseorang lelaki yang jauh perjalanan, yang kusut rambutnya lagi berdebu mukanya, lalu ia menadah kedua-dua tangannya ke langit (berdoa):
Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram, dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya? ( riwayat Muslim)
Faktor lain yang menjurus kepada aspek penting dalam mengambil makanan yang halal juga bersangkut-paut dengan pembentukan kesempurnaan iman. Iman amat berkait rapat dengan hati atau jiwa. Sekiranya sesuap makanan itu tidak halal ia memberi kesan langsung terhadap peningkatan iman dan takwa seseorang itu kepada Allah. Jika hatinya dicemari dengan unsur-unsur yang boleh melemahkan keimanan dan keyakinan yang menjadi dasar kehidupan umat Islam.
Sabda Nabi yang diriwayatkan daripada Anas bermaksud: Tidak lurus iman seseorang hamba hingga (lurus dulu) hatinya. Iman yang mantap akan menggerakkan kepada amal kebaikan dan sebaliknya.
Kebaikan dan kejahatan amat bergantung kepada hatinya sebagai pusat menggerakkan arahan. Hati dan jiwa perlu dipelihara dan disuburkan dengan iktiqad yang benar, kepercayaan yang luhur dan keyakinan yang bersih daripada sebarang kekotoran. Untuk menjadi umat yang kuat dari segi mental dan fizikal, pemakanan yang berkualiti dan seimbang wajar dibudayakan sebaiknya. Fitrah kejadian manusia menghendaki setiap apa yang diterima oleh tubuh badan mestilah yang terbaik. Tubuh yang baik akan mencerna kehidupan yang produktif dan progresif, seterusnya menjadi umat yang terbaik.
Kesejahteraan hidup haruslah diusahakan oleh tangan manusia, sekiranya manusia lalai dan alpa, maka akan lahirlah masyarakat yang lemah dan tidak bermaya.