Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan Abu Muslim dari Abu Hurairah: "Di antara nilai hukum yang diisyaratkan ialah peri mustahaknya makanan yang halal bagi orang yang beriman dalam hubungannya dengan ibadat dan doanya kerana untuk penyempurnaannya tidak sahaja dikehendaki kepada kebaikan apa yang dikerjakannya tetapi memerlukan pula kepada halal makanan dan pakaian yang digunakan setiap hari."
Pada zaman Nabi Musa AS ada dikisahkan seorang yang berdoa bersungguh-sungguh dengan tangannya diangkatkan ke langit tetapi doanya tidak diterima Allah. Nabi Musa berasa hairan kerana doa lelaki tersebut tidak diterima Allah. Lalu Nabi Musa bertanya kepada Allah mengapakah doa lelaki itu tidak diterima. Allah menjawab, doanya tidak diterima kerana di dalam perutnya ada benda yang haram dan di belakangnya ada juga benda yang haram (pakaiannya). Malah di rumahnya turut dipenuhi dengan benda yang haram dan disebabkan itulah doanya tidak diterima.
Bagi diri setiap orang Islam, penerimaan doa oleh Allah S.W.T itu sangat penting kerana doa adalah otak kepada segala ibadat. Ia juga bermaksud sekiranya 'otak' itu cacat, maka ibadat lain turut cacat sama. Bagi orang beriman, doa adalah satu kekuatan yang Allah kurniakan kepada manusia khususnya bagi orang teraniaya yang mana doanya amat makbul dan diterima Allah.