Rezeki Haram Undang Darurat...

Sekiranya orang Islam mengetahui bahawa rezeki atau duit yang mereka terima itu jelas daripada sumber yang haram maka haram bagi umat Islam memakannya. Sumber atau hasil daripada judi boleh digunakan sekiranya orang Islam benar-benar dalam keadaan darurat. Darurat mestilah keadaannya sangat-sangat terdesak. Contohnya, tiada langsung sumber halal. Sekiranya tak terima yang haram akan mati kelaparan. Maka dalam keadaan sebegini Islam mengharuskan, dengan syarat dihalalkan yang haram sekadar untuk selamatkan nyawa. Jika duit haram itu dihonoriumkan adalah haram bagi orang Islam. Ayat-ayat al-Quran serta riwayat-riwayat hadis dan athar para sahabat yang sentiasa menjadi rujukan, antaranya:

Hadis yang diriwayatkan dari Abu Bakar ra ada dua jalan, yang pertamanya yang bermaksud: "Tidak akan masuk ke dalam syurga daging yang tumbuh dari sumber wang yang nerakalah yang layak baginya." (riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya), manakala riwayat yang lain bermaksud: "Tidak akan masuk syurga tubuh badan yang membesar dengan sumber yang haram." (riwayat al-Khatib al-Tabriziy).

Maksud hadis ini ialah tubuh badan atau daging yang membesar bersumberkan pendapatan haram maka di akhirat kelak sebagai balasan neraka jahanamlah tempat baginya sebagi balasan. Ini kerana Allah SWT mengharamkan setiap yang kotor serta sumber pendapatan yang melanggar syarak sebagai haram, sedang Allah SWT memerintahkan orang Islam hanya memakan yang baik lagi jelas halalnya.

Allah SWT memerintahkan hamba-hambanya yang benar-benar beriman agar menjadikan yang halal sahaja sebagai makan rutin harian. Ini kerana sumber rezeki atau pendapatan yang haram bukan sahaja melayakkan seseorang itu menjadi penghuni syurga bahkan turut memberi kesan kepada kelakuan manusia.

Allah SWT memerintah setiap Rasul-Nya agar makan yang halal lagi, supaya apa ditinggalkan oleh para Rasul menjadi ikutan bagi umat Islam. Firman Allah yang bermaksud: Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal2 salih, sesungguhnya aku mengetahui apa yang kamu kerjakan.(al-Mukminun: 51).

Dalam ayat yang lain Allah SWT menyeru manusia keseluruhannya, termasuk Rasul-rasul, orang yang beriman dan Allah SWT turut mengajak yang belum beriman agar makan makanan yang halal kerana ia lebih baik. Firman-Nya yang bermaksud: Wahai sekelian manusia makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)

Di dalam riwayat yang disampaikan oleh Ibn Mardawaih daripada ibn Abbas ra, tatkala ayat ini dibaca oleh sahabat di hadapan Rsulullah SAW, maka berdirilah Sa'ad bin Abi Waqqash. Dia memohon kepada Rasulullah supaya baginda memohon kepada Allah agar apa sahaja yang dipohon melalui doa oleh Sa'ad dikabulkan Allah. Maka baginda bersabda yang bermaksud: Wahai Sa'ad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah orang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad berada pada takdir-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang menyuapkan suatu yang haram ke dalam perutnya, maka tidaklah diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan sesiapa di hamba Allah yang membesar dagingnya dari sumber yang haram dan riba, maka api neraka lebih baik untuknya. (Disebut oleh al-Haithamiy di dalam al-Majma', jld:10, hlm:291, juga lihat; al-Munziriy, al-Targhib, jld:2, hlm:547. Hadis ini darjatnya lemah)

Ibn Kathir berpandangan: "Makanan yang yang baik untuk badan hendaklah makanan yang tidak memudaratkan jasad dan memudaratkan akal…" (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:1, hlm:434)

Pak Hamka berpendapat bahawa sumber dan rezeki yang haram besar pengaruhnya kepada akhlak dan tingkah laku manusia. (al-Azhar, Prof. Dr. Hamka, jld:1, hlm:377).

Firman Allah SWT yang bermaksud: Oleh itu, makanlah daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. (al-Nahl:114)

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberitahu bahawa akan datang umat di akhir zaman bersikap acuh tak acuh dalam urusan mencari rezeki, mereka tidak akan bertanya dari mana sumbernya juga tidak mencari dari mana datangnya. Daripada Abu Hurairah ra, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Akan datang suatu zaman ke atas manusia, mereka tidak peduli dari mana dia ambil rezekinya, tidak peduli halalkah atau haram rezeki yang diterimanya. (al-Bukhari)

Mereka yang berakal serta sedar bahawa dunia ini ada penyudah dan perhitungannya. Penghujungnya setiap orang akan berada di hadapan Allah SWT bagi menerima balasan, hal ini jelas dalam hadis Rasulullah SAW daripada Mua'z bin Jabal yang bermaksud: "Tidak akan berganjak kaki anak Adam selagi mana dia tidak menjawab akan empat soalan; jasadnya kemana digunakan, umurnya di mana dihabiskan, dan akan ditanya akan hartanya dari mana ia diperoleh dan ke mana pula dibelanjakan, serta apa yang dilakukan dengan ilmunya." (riwayat al-Tarmidzhi, jld:7, hlm:101, hadis hasan sohih)

Kebanyakan di antara kita tidak sedar bahaya rezeki haram, kesannya serta mudaratnya. Ada pula di antara kita yang tidak kisah dari mana datangnya rezeki itu. Daripada Aisyah telah berkata yang bermaksud: Abu Bakar al-Siddiq pernah memiliki seorang budak suruhan. Pada suatu hari budak suruhan ini telah datang dengan membawa makanan, lalu Abu Bakar pun memakan dari apa yang dibawa oleh budak suruhan itu. Lantas budak suruhan itu bertanya kepada Abu Bakar, tahu tak kamu apa ini (makanan yang dibawa), Abu Bakar menjawab: Apa dia? Lalu budak itu memberitahu kepada Abu Bakar, dulu zaman jahiliah aku pernah menilik untuk orang ramai, sedang aku ini bukanlah seorang tukang tilik yang handal melainkan aku khianati orang dengan dustaan tilikan. Aku terserempak dengan orang yang pernah aku tilik lalu memberi aku makanan yang telah engkau makan sebentar tadi. Tanpa berlengah Abu Bakar telah memasukkan jarinya ke dalam mulut dan memuntahkan semua yang telah dimakannya. (al-Bukhari, no:3554, Kitab al-Manaqib)

Diriwayatkan juga bahawa Umar bin al-Khattab ra merasakan sesuatu yang tidak selesa setelah minum susu, lantas Umar bertanya kepada yang telah memberinya susu tadi, dari mana kamu beroleh susu ini? Orang yang memberinya menjawab aku telah memerahnya daripada unta yang disedekahkan ketika unta-unta sedang minum air. Lantas Umar memasukkan jarinya kemudian memuntahkan apa yang telah diminumnya.

Pernah seorang wanita solehah berpesan kepada suaminya ketika keluar rumah mencari rezeki dengan berkata: Wahai suamiku! Takutlah kamu akan Allah di dalam mencari rezeki, sesungguhnya kami (anak isteri) boleh bersabar atas kelaparan tetapi tidak akan sabar menanggung api neraka.

Teruskan Berdoa....


Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Mereka yang enggan berdoa kepada Allah,adalah orang yang bongkak. Al-Quran memaparkan banyak ayat, antaranya firman Allah (mafhumnya): “Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu…” (Surah al-Ghafir ayat 60)
Firman Allah maksudnya: “Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk.(al-Baqarah: 186)
Dalam as-Sunnah terdapat banyak hadis-hadis fi’li (perbuatan) dan hadis-hadis qauli (percakapan) yang jelas baginda Rasulullah s.a.w., berdoa ke hadrat Allah SWT.
Berdoa sememangnya dituntut, itu tugas kita sebagai hamba Allah. Sama ada terima atau tidak, ianya adalah urusan Allah SWT. Terserahlah kepada Allah dan memohonlah apa sahaja dengan penuh yakin bahawa Allah akan mengkabulkan doa kita. Nescaya Allah akan memenuhinya sama ada cepat atau lambat.
Nabi Allah Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah berdoa ke hadrat Allah agar hati-hati manusia tertarik untuk mengunjungi Makkah beramai-ramai, pada waktu Makkah masih menjadi sebuah lembah yang gersang.
Baginda berharap umat manusia datang beramai-ramai menunaikan haji dan membuat umrah, dan dipohonkan rezeki mereka melimpah ruah.
Doa itu dilafazkan ribuan tahun dahulu ketika baginda mendatangi Makkah bersama anak dan isterinya.Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan doa baginda selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w., malah sehingga hari ini semakin jelas doa Nabi Ibrahim a.s.seolah-olah baru dimakbulkan. Cuba bayangkan, doa Nabi Ibrahim yang disebut sebagai ‘khalilullah’ - kekasih Allah - sahabat setia Allah, berdoa ke hadrat Allah, ribuan tahun kemudiannya baru jelas dimakbulkan.
Apabila kita sering berdoa, jangan sesekali membuat kesimpulan bahawa doa kita tidak akan dimakbulkan. Mungkin Allah telah makbulkan doa itu, mungkin dalam bentuk diberikan yang lebih baik daripada apa yang kita pinta. Kadang-kadang doa kita dimakbulkan cepat, kadang-kadang lambat. Ertinya, apa yang dipohon, tidak semestinya diberi atau ditolak.
Ia adalah suatu ujian kepada kesabaran seseorang hamba. Sama ada Allah berikan sesuatu yang lebih baik, atau Allah berikan ganjaran sewajarnya pada hari akhirat kelak dalam bentuk pahala yang banyak.
Antara sebab-sebab nyata Allah tidak makbulkan doa, seperti yang difirmankan Allah dalam ayat 186 Surah al-Baqarah tadi, iaitu orang-orang yang keimanannya kepada Allah itu, masih berada pada tahap yang boleh dipersoalkan dan kemaksiatan yang dilakukan. Ada hadis Nabi s.a.w. yang menyebut tentang doa yang tidak dimakbulkan, antaranya (mafhum):“Makan minumlah kamu dengan yang halal, nescaya doamu akan dimakbulkan".
Pada suatu ketika ada seorang yang keadaannya begitu terdesak, mengangkat tangan setinggi-tinggi yang boleh, dan berdoa ke hadrat Allah SWT, memohon kepada Allah, tatkala Nabi s.a.w. melihatnya, lalu baginda bermadah kepada para sahabat, mafhumnya: “Lihat orang itu, makan minumnya haram, pakai memakainya haram, bagaimana mungkin Allah menerima doanya.”
Sememangnya semakin hampir seseorang hamba kepada Allah, semakin suci bersih jiwa dan amalannya, maka semakin mudah Allah memakbulkan doanya. Seperti yang disebut dalam sebuah hadis qudsi, mafhumnya: “Apabila hambu-Ku mendampingi daku, dengan amalan-amalan yang banyak, khususnya amalan-amalan sunat, maka Aku menyukainya, maka apabila Aku menyukainya, akan-Ku tunaikan doanya (hajat).” Walau hampir dan akrabnya seseorang insan kepada Allah SWT, tidaklah menjadi syarat utama untuk Allah memakbulkan doanya.
Ini kerana, hanya Allah sahaja yang mengetahui kemaslahatan hamba-hamba- Nya. Allah amat mengetahui apa yang hendak diberi dan apa yang tidak perlu diberikan.
Harus kita sedari bahawa dalam kehidupan kita, selain daripada Allah memberi apa yang kita minta, banyak juga kebaikan, rezeki dan sebagainya Allah berikan kepada kita walaupun tidak kita diminta. Amat sedikit yang tidak diberi, itu pun ada kemaslahatannya.
pernahkah doa Rasulullah sendiri ditolak Allah, jawapannya, ya. Memang doa Nabi s.a.w. pernah ditolak. Kadangkala doa baginda pun ditolak. Ketika Nabi Muhammad s.a.w., pada zaman awal kebangkitan baginda sebagai Rasul, menghadapi banyak tekanan daripada kaum Quraisy dan anggota keluarganya tidak mahu memeluk Islam.
Malah baginda pernah disakiti sehingga berdoa ke hadrat Allah mafhumnya): “Ya Allah! Berilah petunjuk kepada kaumku, mereka ini tidak mengetahui.” Doa Nabi ini tidak ditunaikan sepenuhnya. Bukan orang lain, kalangan anggota keluarga, bapa saudaranya, seperti Abu Lahab meskipun didakwah bertubi-tubi, namun mereka lebih bertegas mempertahankan kekufuran mereka.
Malah sampai kepada peringkat menantu Nabi s.a.w sendiri, ada yang tidak beriman, atau lambat beriman.Apa yang nyata, kaum kerabat Nabi, yang didoa dan diusahakan untuk mereka beriman, akhirnya mati dalam keadaan kufur. Dalam Kitab Sahih Muslim, hadis 2889 disebut (mafhumnya): “Suatu hari Rasulullah s.a.w. singgah di masjid Bani Muawiyah, ditunaikan solat sunat dua rakaat bersama sahabat, selepasnya baginda berdoa panjang dengan doa yang panjang. Selepas berdoa baginda berpaling ke arah sahabat dan bersabda, “Saya berdoa kepada Allah, tiga perkara, Allah tunaikan dua sahaja dan menolak yang satu lagi.
Saya memohon agar umat Muhammad tidak dibinasakan dengan kelaparan, Allah tunaikan. Saya memohon agar jangan mereka dibinasakan dengan banjir yang menenggelamkan mereka, Allah tunaikan. Namun apabila saya berdoa agar jangan mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri, Allah tidak tunaikan.”
Bagaimanapun kebanyakan doa-doa Nabi s.a.w. dimakbulkan Allah SWT. Doa yang tidak dimakbulkan itu memang ada kemaslahatannya. Oleh itu berdoalah ke hadrat Allah SWT, kerana ia adalah ibadah. Ibadah dilakukan bukan semata-mata untuk keperluan keduniaan. Jika kita ikhlas beribadah, insya-Allah Allah akan memberikan ganjaran yang sebaiknya di hari kemudian. Solat, puasa, zakat, haji, berjihad dan ibadah-ibadah, kita lakukan kerana berhajatkan keredhaan Allah atau pahala yang dijanjikan kepada kita pada hari akhirat.
Wallahualam.