Sejadah Bergambar BABI

Inilah sejadah yang didakwa sebagai mempunyai lambang atau gambar seperti babi. Jika sebelum ini umat islam sudah banyak kali terpedaya dengan sejadah berbentuk salib sekarang mereka cuba menggunakan objek lain pula untuk menyakiti hati umat islam. Berhati-hatilah apabila anda membeli sajadah atau lihat sajadah dirumah anda adakah sejadah anda mempunyai gambar tersebut ?...

Makanan Pembentuk Peribadi

PEMBONGKARAN media massa mengenai penipuan penggunaan logo halal dan betapa bahan makanan haram dijual sebagai ‘halal’ di pasaran di negara ini, dari semasa ke semasa, membuktikan masalah terbabit terus berleluasa.Bagaimanapun, setiap kali isu itu didedahkan media, barulah pihak tertentu akan ‘melompat’ dengan pelbagai bentuk tindakan. Yang terbaru mengenai pengenalan logo halal baru yang dilengkapi ciri keselamatan lebih ketat.

Sebenarnya isu halal haram berkisar kepada tiga perkara asas: Pertama: sikap pengguna yang beragama Islam terhadap nilai halal haram makanan yang dibeli; kedua: sikap penjual sama ada mereka menghormati pantang larang orang Islam; dan ketiga,:enguatkuasaan undang-undang sama ada mencukupi untuk membendung perbuatan menipu logo halal.
Pemahaman mengenai pentingnya memilih makanan memang diketahui umum. Kita suka memilih makanan kegemaran mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing.
Bagaimanapun, ramai yang hanya melihat kelazatan dan khasiat tanpa meneliti sejauh mana kesesuaiannya untuk dimakan, terutama dari segi kebersihan dan halal menurut syariat. Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis diriwayatkan Muslim bersabda yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu”.
Baginda kemudian menyebut seorang lelaki yang sedang berjalan jauh dengan keadaan kusut masai rambutnya dan berlumuran debu sedang dua tangannya menadah ke langit sambil berdoa “Ya Tuhanku, pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, maka betapakah boleh diperkenankan Allah doanya.”
Makanan yang suci dan bersih menjamin kesihatan yang baik. Justeru, di samping memilih makanan berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan soal kebersihan dan kesuciannya dari segi syariat agama.
Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis diriwayatkan at-Tirmizi yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.”
Islam menitikberatkan kesihatan umatnya. Seseorang mukmin yang sentiasa prihatin terhadap kebersihan dan kesucian makanannya setiap hari akan melahirkan nur keimanan dalam dirinya untuk turut sama menjaga kebersihan diri secara keseluruhannya, termasuk pakaian, tempat tinggal, tubuh badan dan sebagainya.
Dalam ibadat asas agama iaitu solat, aspek terpenting yang ditekankan ialah kebersihan diri. Allah s.w.t. tidak akan menerima solat hamba-Nya yang beribadat dalam keadaan kotor.Ia sesuai dengan maksud hadis Rasulullah yang diriwayatkan Ibnu Hibban iaitu: “Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.”
Islam sangat syumul dalam pemilihan makanan dengan menekankan yang bersih dan halal. Dalam surah al-Nahl ayat 114-115, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah Allah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang sembelihan bukan kerana Allah. Maka, sesiapa dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang.”
Makanan haram sama ada daripada bahan yang dicampur najis dan benda syubhah atau daripada punca yang tidak halal dan syubhah boleh mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakannya.
Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia berasa lebih gemar melakukan kejahatan dan maksiat dan bencikan kerja-kerja kebajikan dan ketaatan. Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan Allah s.w.t.

ketiga, ia akan menyebabkan dia mendapat seksaan neraka di akhirat kelak.
Apa jua bentuk makanan halal dan bersih perlu diikuti peraturan memakannya sebagaimana disarankan Islam.Makanan seimbang umpamanya, akan dapat menghindarkan diri seseorang daripada dihidapi penyakit tertentu.
Rasulullah menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara. Ia amat bertepatan dengan ilmu sains dan kesihatan yang perlu diamalkan manusia.
Insya-Allah jika cukup jumlah yang disarankan Rasulullah itu, sudah pasti kita bukan saja akan dapat merasai nikmat kenyang bahkan hidup lebih mendapat rahmat dan keredaan Allah s.w.t. Daripada aspek adab pemilihan makanan pula, insan mukmin perlu menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang sudah lama terbuka, dari tin berkarat, makanan yang layu dan sebagainya.
Kita memakan sesuatu jenis makanan untuk mendapat sejumlah tenaga mencukupi daripada zat di dalamnya.Islam dan ilmu kesihatan begitu intim hubungannya. Sejak manusia dilahirkan, makanan atau minuman awal yang masuk ke dalam perut adalah susu ibunya.
Selain terjamin kebersihan dan suci dari segi syariat Islam, susu ibu adalah pemangkin terawal untuk menyemai kasih sayang antara seorang ibu dan anaknya. Akhlak yang bakal dijelmakan anak adalah melalui susuan ibunya. Tabiat si penyusu akan dipindahkan kepada anak yang menyusu. Jika solehah si ibu yang menyusukan, akan lahirlah generasi anak berakhlak mulia dan terpuji.Jika dimulakan dengan susu haiwan, bayi itu bila membesar akhlaknya dikhuatiri menjadi tidak sempurna.
Selain adab makan dan memilih makanan, dari segi penjagaan kesihatan, Islam melarang mengambil makanan dan minuman secara berlebihan.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tiada bahaya yang lebih dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang dipenuhi dan ketat dengan makanan yang halal.”
Banyak jenis penyakit bermula daripada salah memilih makanan, termasuk makan secara melampaui batas. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perut adalah sumber penyakit dan berpantang adalah sebaik-baik ubat. Biasakanlah setiap tubuh dengan apa yang lazimnya.”
Allah s.w.t murka kepada hamba-Nya yang suka melampaui batas, termasuk dalam soal pemilihan, adab dan cara makan.Sebagai balasan, Allah s.w.t. akan menurunkan pelbagai wabak penyakit, sama ada ia akan menyerang manusia secara keseluruhan atau menyerang individu yang berpunca daripada kelalaian dan kealpaan manusia mengurus diri untuk menikmati kurniaan Allah s.w.t.

Makanan yang halal menempa hati yang bersih, amalan yang ikhlas

Dari Abi Abdillah an-Nu’man bin Basyir r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas, dan di antara keduanya ada perkara yang samar-samar (syubhat), kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Maka barang siapa menjaga dirinya dari perkara yang syubhat itu, bererti dia telah membersihkan agama dan kehormatan dirinya, dan barangsiapa yang melakukan perkara syubhat itu, dia telah jatuh ke dalam perkara yang haram; seperti pengembala yang berada berhampiran dengan batas sempadan kawasan gembalaan (milik orang lain ),dibimbangi (jika dia tidak berundur ke tempat yang lebih selamat )lambat laun dia akan termasuk ke dalamnya (secara tak sengaja ). Ingatlah, bahawa setiap raja ada larangannya dan ingatlah, bahawa larangan Allah adalah apa-apa yang diharamkanNya. Ingatlah, bahawa dalam jasad itu ada seketul daging, jika dia baik, baiklah jasad seluruhnya; jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, bahawa segumpal daging itu adalah hati.( HR al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud )

HURAIAN:
Hadis ini merupakan salah satu pokok syari’at Islam. Abu Dawud As Sijistani berkata: “Islam bersumber pada empat Hadis, diantaranya adalah Hadis ini”. Para ulama telah sepakat atas keagungan dan banyaknya manfaat Hadis ini.Sebahagian ulama berpendapat: Syubhat itu ada tiga bentuk iaitu:
Pertama, sesuatu yang sudah diketahui oleh manusia tentang pengharamannya tetapi orang itu ragu apakah masih tetap haram atau tidak. Misalnya, makan daging haiwan yang tidak diketahui dengan pasti penyembelihannya, maka daging haiwan seperti ini menjadi haram kecuali kalau terbukti dengan yakin telah disembelih.
Dasar yang perlu dipegang dalam kes ini adalah Hadis ‘Adi bin Hatim seperti yan dijelaskan di atas.
Kedua, sesuatu yang halal tetapi masih diragukan kepastian halalnya, seperti seorang lelaki yang mempunyai isteri, namun diaragu-ragu apakah dia telah menjatuhkan thalaq kepadanya atau belum.Hal-hal seperti ini pada dasarnya adalah harus sampai diketahui dengan pasti haramnya. Dasarnya adalah Hadis ‘Abdullah bin Zaid yag ragu-ragu tentang apakag wudhuknya sudah terbatal, padahal sebelumnya dia yakin masih dalam keadaan suci.
Ketiga, seseorang ragu-ragu tentang sesuatu dan tidak tahu apakah hal itu halal atau haram dan kedua kemungkinan ini sama-sama boleh terjadi, sedangkan tidak ada petunjuk yang menguatkan salah satunya. Hal seperti ini lebih baik dijauhi, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. pernah melakukannya pada kurma yang jatuh yang beliau temui di rumahnya, lalu beliau bersabda:
“Kalau saya tidak takut kurma ini dari kalangan zakat, tentu saya telah memakannya.”
Adapun orang tidak mengambil sikap berhati-hati yang berlebihan, seperti tidak mahu menggunakan air bekas yang ternyata masih suci kerana bimbang telah terkena najis, atau tidak mahu solat di suatu tempat itu ada kerana terfikir terdapat bekas air kencing yang sudah kering, atau mencuci pakaian yang masih bersih kerana bimbang terkena najis yang tidak diketahuinya, dan sebagainya. Sikap seperti ini tidak perlu diikut, sebab ia adalah berlebih-lebihan yang dipanggil dalam istilah syarak sebagai was-was dan bisikan syaitan,.
Wallaahu a’lam.

Rezeki Haram Undang Darurat...

Sekiranya orang Islam mengetahui bahawa rezeki atau duit yang mereka terima itu jelas daripada sumber yang haram maka haram bagi umat Islam memakannya. Sumber atau hasil daripada judi boleh digunakan sekiranya orang Islam benar-benar dalam keadaan darurat. Darurat mestilah keadaannya sangat-sangat terdesak. Contohnya, tiada langsung sumber halal. Sekiranya tak terima yang haram akan mati kelaparan. Maka dalam keadaan sebegini Islam mengharuskan, dengan syarat dihalalkan yang haram sekadar untuk selamatkan nyawa. Jika duit haram itu dihonoriumkan adalah haram bagi orang Islam. Ayat-ayat al-Quran serta riwayat-riwayat hadis dan athar para sahabat yang sentiasa menjadi rujukan, antaranya:

Hadis yang diriwayatkan dari Abu Bakar ra ada dua jalan, yang pertamanya yang bermaksud: "Tidak akan masuk ke dalam syurga daging yang tumbuh dari sumber wang yang nerakalah yang layak baginya." (riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya), manakala riwayat yang lain bermaksud: "Tidak akan masuk syurga tubuh badan yang membesar dengan sumber yang haram." (riwayat al-Khatib al-Tabriziy).

Maksud hadis ini ialah tubuh badan atau daging yang membesar bersumberkan pendapatan haram maka di akhirat kelak sebagai balasan neraka jahanamlah tempat baginya sebagi balasan. Ini kerana Allah SWT mengharamkan setiap yang kotor serta sumber pendapatan yang melanggar syarak sebagai haram, sedang Allah SWT memerintahkan orang Islam hanya memakan yang baik lagi jelas halalnya.

Allah SWT memerintahkan hamba-hambanya yang benar-benar beriman agar menjadikan yang halal sahaja sebagai makan rutin harian. Ini kerana sumber rezeki atau pendapatan yang haram bukan sahaja melayakkan seseorang itu menjadi penghuni syurga bahkan turut memberi kesan kepada kelakuan manusia.

Allah SWT memerintah setiap Rasul-Nya agar makan yang halal lagi, supaya apa ditinggalkan oleh para Rasul menjadi ikutan bagi umat Islam. Firman Allah yang bermaksud: Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal2 salih, sesungguhnya aku mengetahui apa yang kamu kerjakan.(al-Mukminun: 51).

Dalam ayat yang lain Allah SWT menyeru manusia keseluruhannya, termasuk Rasul-rasul, orang yang beriman dan Allah SWT turut mengajak yang belum beriman agar makan makanan yang halal kerana ia lebih baik. Firman-Nya yang bermaksud: Wahai sekelian manusia makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)

Di dalam riwayat yang disampaikan oleh Ibn Mardawaih daripada ibn Abbas ra, tatkala ayat ini dibaca oleh sahabat di hadapan Rsulullah SAW, maka berdirilah Sa'ad bin Abi Waqqash. Dia memohon kepada Rasulullah supaya baginda memohon kepada Allah agar apa sahaja yang dipohon melalui doa oleh Sa'ad dikabulkan Allah. Maka baginda bersabda yang bermaksud: Wahai Sa'ad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah orang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad berada pada takdir-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang menyuapkan suatu yang haram ke dalam perutnya, maka tidaklah diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan sesiapa di hamba Allah yang membesar dagingnya dari sumber yang haram dan riba, maka api neraka lebih baik untuknya. (Disebut oleh al-Haithamiy di dalam al-Majma', jld:10, hlm:291, juga lihat; al-Munziriy, al-Targhib, jld:2, hlm:547. Hadis ini darjatnya lemah)

Ibn Kathir berpandangan: "Makanan yang yang baik untuk badan hendaklah makanan yang tidak memudaratkan jasad dan memudaratkan akal…" (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:1, hlm:434)

Pak Hamka berpendapat bahawa sumber dan rezeki yang haram besar pengaruhnya kepada akhlak dan tingkah laku manusia. (al-Azhar, Prof. Dr. Hamka, jld:1, hlm:377).

Firman Allah SWT yang bermaksud: Oleh itu, makanlah daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. (al-Nahl:114)

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberitahu bahawa akan datang umat di akhir zaman bersikap acuh tak acuh dalam urusan mencari rezeki, mereka tidak akan bertanya dari mana sumbernya juga tidak mencari dari mana datangnya. Daripada Abu Hurairah ra, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Akan datang suatu zaman ke atas manusia, mereka tidak peduli dari mana dia ambil rezekinya, tidak peduli halalkah atau haram rezeki yang diterimanya. (al-Bukhari)

Mereka yang berakal serta sedar bahawa dunia ini ada penyudah dan perhitungannya. Penghujungnya setiap orang akan berada di hadapan Allah SWT bagi menerima balasan, hal ini jelas dalam hadis Rasulullah SAW daripada Mua'z bin Jabal yang bermaksud: "Tidak akan berganjak kaki anak Adam selagi mana dia tidak menjawab akan empat soalan; jasadnya kemana digunakan, umurnya di mana dihabiskan, dan akan ditanya akan hartanya dari mana ia diperoleh dan ke mana pula dibelanjakan, serta apa yang dilakukan dengan ilmunya." (riwayat al-Tarmidzhi, jld:7, hlm:101, hadis hasan sohih)

Kebanyakan di antara kita tidak sedar bahaya rezeki haram, kesannya serta mudaratnya. Ada pula di antara kita yang tidak kisah dari mana datangnya rezeki itu. Daripada Aisyah telah berkata yang bermaksud: Abu Bakar al-Siddiq pernah memiliki seorang budak suruhan. Pada suatu hari budak suruhan ini telah datang dengan membawa makanan, lalu Abu Bakar pun memakan dari apa yang dibawa oleh budak suruhan itu. Lantas budak suruhan itu bertanya kepada Abu Bakar, tahu tak kamu apa ini (makanan yang dibawa), Abu Bakar menjawab: Apa dia? Lalu budak itu memberitahu kepada Abu Bakar, dulu zaman jahiliah aku pernah menilik untuk orang ramai, sedang aku ini bukanlah seorang tukang tilik yang handal melainkan aku khianati orang dengan dustaan tilikan. Aku terserempak dengan orang yang pernah aku tilik lalu memberi aku makanan yang telah engkau makan sebentar tadi. Tanpa berlengah Abu Bakar telah memasukkan jarinya ke dalam mulut dan memuntahkan semua yang telah dimakannya. (al-Bukhari, no:3554, Kitab al-Manaqib)

Diriwayatkan juga bahawa Umar bin al-Khattab ra merasakan sesuatu yang tidak selesa setelah minum susu, lantas Umar bertanya kepada yang telah memberinya susu tadi, dari mana kamu beroleh susu ini? Orang yang memberinya menjawab aku telah memerahnya daripada unta yang disedekahkan ketika unta-unta sedang minum air. Lantas Umar memasukkan jarinya kemudian memuntahkan apa yang telah diminumnya.

Pernah seorang wanita solehah berpesan kepada suaminya ketika keluar rumah mencari rezeki dengan berkata: Wahai suamiku! Takutlah kamu akan Allah di dalam mencari rezeki, sesungguhnya kami (anak isteri) boleh bersabar atas kelaparan tetapi tidak akan sabar menanggung api neraka.

Teruskan Berdoa....


Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Mereka yang enggan berdoa kepada Allah,adalah orang yang bongkak. Al-Quran memaparkan banyak ayat, antaranya firman Allah (mafhumnya): “Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu…” (Surah al-Ghafir ayat 60)
Firman Allah maksudnya: “Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk.(al-Baqarah: 186)
Dalam as-Sunnah terdapat banyak hadis-hadis fi’li (perbuatan) dan hadis-hadis qauli (percakapan) yang jelas baginda Rasulullah s.a.w., berdoa ke hadrat Allah SWT.
Berdoa sememangnya dituntut, itu tugas kita sebagai hamba Allah. Sama ada terima atau tidak, ianya adalah urusan Allah SWT. Terserahlah kepada Allah dan memohonlah apa sahaja dengan penuh yakin bahawa Allah akan mengkabulkan doa kita. Nescaya Allah akan memenuhinya sama ada cepat atau lambat.
Nabi Allah Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah berdoa ke hadrat Allah agar hati-hati manusia tertarik untuk mengunjungi Makkah beramai-ramai, pada waktu Makkah masih menjadi sebuah lembah yang gersang.
Baginda berharap umat manusia datang beramai-ramai menunaikan haji dan membuat umrah, dan dipohonkan rezeki mereka melimpah ruah.
Doa itu dilafazkan ribuan tahun dahulu ketika baginda mendatangi Makkah bersama anak dan isterinya.Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan doa baginda selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w., malah sehingga hari ini semakin jelas doa Nabi Ibrahim a.s.seolah-olah baru dimakbulkan. Cuba bayangkan, doa Nabi Ibrahim yang disebut sebagai ‘khalilullah’ - kekasih Allah - sahabat setia Allah, berdoa ke hadrat Allah, ribuan tahun kemudiannya baru jelas dimakbulkan.
Apabila kita sering berdoa, jangan sesekali membuat kesimpulan bahawa doa kita tidak akan dimakbulkan. Mungkin Allah telah makbulkan doa itu, mungkin dalam bentuk diberikan yang lebih baik daripada apa yang kita pinta. Kadang-kadang doa kita dimakbulkan cepat, kadang-kadang lambat. Ertinya, apa yang dipohon, tidak semestinya diberi atau ditolak.
Ia adalah suatu ujian kepada kesabaran seseorang hamba. Sama ada Allah berikan sesuatu yang lebih baik, atau Allah berikan ganjaran sewajarnya pada hari akhirat kelak dalam bentuk pahala yang banyak.
Antara sebab-sebab nyata Allah tidak makbulkan doa, seperti yang difirmankan Allah dalam ayat 186 Surah al-Baqarah tadi, iaitu orang-orang yang keimanannya kepada Allah itu, masih berada pada tahap yang boleh dipersoalkan dan kemaksiatan yang dilakukan. Ada hadis Nabi s.a.w. yang menyebut tentang doa yang tidak dimakbulkan, antaranya (mafhum):“Makan minumlah kamu dengan yang halal, nescaya doamu akan dimakbulkan".
Pada suatu ketika ada seorang yang keadaannya begitu terdesak, mengangkat tangan setinggi-tinggi yang boleh, dan berdoa ke hadrat Allah SWT, memohon kepada Allah, tatkala Nabi s.a.w. melihatnya, lalu baginda bermadah kepada para sahabat, mafhumnya: “Lihat orang itu, makan minumnya haram, pakai memakainya haram, bagaimana mungkin Allah menerima doanya.”
Sememangnya semakin hampir seseorang hamba kepada Allah, semakin suci bersih jiwa dan amalannya, maka semakin mudah Allah memakbulkan doanya. Seperti yang disebut dalam sebuah hadis qudsi, mafhumnya: “Apabila hambu-Ku mendampingi daku, dengan amalan-amalan yang banyak, khususnya amalan-amalan sunat, maka Aku menyukainya, maka apabila Aku menyukainya, akan-Ku tunaikan doanya (hajat).” Walau hampir dan akrabnya seseorang insan kepada Allah SWT, tidaklah menjadi syarat utama untuk Allah memakbulkan doanya.
Ini kerana, hanya Allah sahaja yang mengetahui kemaslahatan hamba-hamba- Nya. Allah amat mengetahui apa yang hendak diberi dan apa yang tidak perlu diberikan.
Harus kita sedari bahawa dalam kehidupan kita, selain daripada Allah memberi apa yang kita minta, banyak juga kebaikan, rezeki dan sebagainya Allah berikan kepada kita walaupun tidak kita diminta. Amat sedikit yang tidak diberi, itu pun ada kemaslahatannya.
pernahkah doa Rasulullah sendiri ditolak Allah, jawapannya, ya. Memang doa Nabi s.a.w. pernah ditolak. Kadangkala doa baginda pun ditolak. Ketika Nabi Muhammad s.a.w., pada zaman awal kebangkitan baginda sebagai Rasul, menghadapi banyak tekanan daripada kaum Quraisy dan anggota keluarganya tidak mahu memeluk Islam.
Malah baginda pernah disakiti sehingga berdoa ke hadrat Allah mafhumnya): “Ya Allah! Berilah petunjuk kepada kaumku, mereka ini tidak mengetahui.” Doa Nabi ini tidak ditunaikan sepenuhnya. Bukan orang lain, kalangan anggota keluarga, bapa saudaranya, seperti Abu Lahab meskipun didakwah bertubi-tubi, namun mereka lebih bertegas mempertahankan kekufuran mereka.
Malah sampai kepada peringkat menantu Nabi s.a.w sendiri, ada yang tidak beriman, atau lambat beriman.Apa yang nyata, kaum kerabat Nabi, yang didoa dan diusahakan untuk mereka beriman, akhirnya mati dalam keadaan kufur. Dalam Kitab Sahih Muslim, hadis 2889 disebut (mafhumnya): “Suatu hari Rasulullah s.a.w. singgah di masjid Bani Muawiyah, ditunaikan solat sunat dua rakaat bersama sahabat, selepasnya baginda berdoa panjang dengan doa yang panjang. Selepas berdoa baginda berpaling ke arah sahabat dan bersabda, “Saya berdoa kepada Allah, tiga perkara, Allah tunaikan dua sahaja dan menolak yang satu lagi.
Saya memohon agar umat Muhammad tidak dibinasakan dengan kelaparan, Allah tunaikan. Saya memohon agar jangan mereka dibinasakan dengan banjir yang menenggelamkan mereka, Allah tunaikan. Namun apabila saya berdoa agar jangan mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri, Allah tidak tunaikan.”
Bagaimanapun kebanyakan doa-doa Nabi s.a.w. dimakbulkan Allah SWT. Doa yang tidak dimakbulkan itu memang ada kemaslahatannya. Oleh itu berdoalah ke hadrat Allah SWT, kerana ia adalah ibadah. Ibadah dilakukan bukan semata-mata untuk keperluan keduniaan. Jika kita ikhlas beribadah, insya-Allah Allah akan memberikan ganjaran yang sebaiknya di hari kemudian. Solat, puasa, zakat, haji, berjihad dan ibadah-ibadah, kita lakukan kerana berhajatkan keredhaan Allah atau pahala yang dijanjikan kepada kita pada hari akhirat.
Wallahualam.

Jauhilah Makanan Yang Haram

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.” (Riwayat al-Baihaqi dan Abu Nuim)

Harta-harta yang berkat itu adalah harta yang halal dan baik, kerana sesuatu yang diambil dari yang tidak halal dan tidak baik tidak mungkin mampu mendorong seseorang kepada melakukan kebaikan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain. Kita seharusnya mengambil berat akan apa yang kita suapkan ke mulut kerana setiap daging yang timbul atau dihasilkan dari sesuatu yang haram maka nerakalah tempatnya. Pengertian halal yang harus difahami daripada hadis di atas adalah mencakupi aspek-aspek berikut:

1. Halal wujudnya iaitu apa saja yang tidak dilarang oleh agama Islam seperti makanan dan minuman yang tidak diharamkan oleh syariat Islam.

2. Halal cara mengambil atau memperolehinya iaitu cara mengambil atau cara memperoleh yang tidak dilarang oleh syariat Islam seperti harta yang diperoleh dari pekerjaan yang halal menurut pandangan syariat Islam.

3. Halal kerana tidak bercampur dengan hak milik orang lain, kerana sudah dikeluarkan zakatnya. Jika sebaliknya (haram) ia berupa bahan makanan dan dimakan oleh seseorang maka pengaruhnya sangat buruk terhadap perkembangan rohani dan jasmani seseorang.

Renung-renungkan!

Perut Sarang Penyakit

Negara kita makmur dan kerana kemakmurannya itu, kita mewah segala-galanya. Dalam aspek makan dan minum, jarang-jarang kita merungut kerana tidak cukup, malah yang kerap berlaku, kita makan secara berlebihan dan kadangkala membuang makanan begitu sahaja apabila sudah tidak termakan. Dr. Yusof al-Qaradhawi menyatakan jika perut itu sarang kepada penyakit, maka melaparkan perut itu adalah raja bagi segala ubat. Keadaan ini tidak bermakna, kita tidak dibolehkan menikmati makanan, tetapi Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengawal pengambilan makanan agar keadaan tubuh badan sihat dan segar. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) daripada apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu daripada benda halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah an-Nahl ayat 114)

Makanan sebetulnya penting untuk kesuburan rohani. Ini kerana apabila nafsu makan jasmani tidak dikendalikan, ia menjejaskan rohani daripada mengingati Allah SWT. Sifat malas menghantui kita untuk beribadah. Apabila tubuh sakit akibat salah makan misalnya, jumlah ibadat kita kepada Allah jadi terbatas.
Rohani yang bersih tidak lain tidak bukan, dibentuk oleh makanan yang berkhasiat, agar daya ingatan menjadi cerah dan tajam.
Oleh itu, hubungan kesihatan serta makanan amat erat dan saling berkait. Makanlah, tetapi harus berpada-pada. Berhenti sebelum kenyang......

Berhati-hati ketika makan

Ramai umat islam mengambil ringan tentang soal makanan di restoran dan kedai makan yang bertanda halal. Nampak sahaja logo halal boleh dimakan. Patutkah? Bagi aku logo halal boleh dibuat sendiri, pergi sahaja kedai sticker. Dapatlah logo halal. Pikirkah kita tukang masak, bahan apa dia gunakan, kuali, sudu, garpu bercampur dengan apa? Jangan ingat “No Pork” ia halal.Tanpa kita sedari berapa banyakkah makanan yang tidak disembelih dengan sempurna dan makanan haram yang memasuki tubuh kita menyebabkan kita lalai melakukan ibadah kepada Allah s.w.t.

FIRMAN Allah bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Maka, sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedangkan dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah ayat 173)

Makan dan minum adalah suatu perkara yang harus sifatnya bagi manusia. Oleh itu, ada suruhan dan larangan daripada Allah bagi aspek pemakanan manusia. Ia adalah peraturan bagi memelihara daripada terjebak dalam kemudaratan terhadap kesihatan fizikal dan rohani. Makanan tidak halal secara maknawiyah amat memberi kesan kepada pembentukan sahsiah diri dan ahli keluarga. Islam menganjurkan agar umatnya berhati-hati dalam pengambilan sebarang bentuk pemakanan.

Begitu juga dengan sumber makanan atau rezeki yang disuapkan ke dalam mulutnya. Unsur riba, rasuah, perjudian dan hasil haram lain wajib dielakkan.

Allah membuat penegasan bahawa rezeki yang diperoleh dengan cara yang tidak halal akan diberi balasan yang setimpal di akhirat nanti.

Firman-Nya bermaksud: Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba, padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang yang kafir antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah an-Nisa ayat 161)

Rezeki daripada hasil haram akan menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Setiap suap makanan yang tidak halal, diisi ke perut akan memberikan kesan kepada tindakannya. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: Setiap daging yang tumbuh daripada makanan (sumber) yang haram, maka api nerakalah yang paling layak baginya.

Perilaku seseorang akan berubah dengan sikap atau perangai yang buruk. Tindakannya akan menjurus kepada hawa nafsu dan mengikut telunjuk syaitan.

Ingatan ini turut dirakamkan menerusi firman-Nya bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh kamu yang terang nyata bagi kamu. Ia akan menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) kamu supaya berkata (dusta) terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya). (Surah al-Baqarah ayat 168-169).

Makanan yang halal menjadi syarat utama bagi kesucian amal yang akan diterima oleh Allah. Orang yang beriman digesa agar segala amalnya bersih, jiwa dan hatinya digerakkan oleh kekuatan darah yang bersih. Sumbernya pula mestilah halal dan tubuh badannya dijauhi daripada hiasan pakaian yang bersumberkan yang haram.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani dari Ibn Abbas, katanya: Pernah aku membaca di sisi Rasulullah ayat al-Quran (bermaksud): Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik. (Surah al-Baqarah ayat 168).

Kemudian Saad Bin Abi Waqqas bangun seraya berkata: Ya Rasulullah! Aku memohon kepada Allah supaya dijadikan aku orang yang diperkenankan doanya. Lantas baginda bersabda : Wahai Saad! Baguskanlah (Makanlah) makanan engkau, nescaya engkau adalah orang yang diperkenankan doa (permintaan). Dan demi diri Muhammad di tangannya, sesungguhnya seorang hamba yang menyuapkan sesuap makanan haram ke perutnya, Allah tidak menerima amalnya 40 hari. Dan sesiapa di kalangan hamba Allah yang tumbuh dagingnya dari makanan yang haram, maka api neraka yang lebih layak baginya.

Menurut riwayat yang lain, Saad Bin Abi Waqqas yang terkenal sebagai sahabat Baginda yang diperkenankan doanya. Beliau berkata: Bahawa aku tidak pernah mengangkat sesuap makanan ke mulutku melainkan aku tahu dari mana datangnya dan dari mana keluarnya.

Sabda Rasulullah daripada Abu Hurairah bermaksud: Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang mukmin apa-apa yang Dia perintahkan kepada Rasul.

Maka, Allah berfirman bermaksud: Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakan amal-amal yang soleh. Dan Dia berfirman: Wahai orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.

Kemudian ia menyebutkan seseorang lelaki yang jauh perjalanan, yang kusut rambutnya lagi berdebu mukanya, lalu ia menadah kedua-dua tangannya ke langit (berdoa):

Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram, dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya? ( riwayat Muslim)

Faktor lain yang menjurus kepada aspek penting dalam mengambil makanan yang halal juga bersangkut-paut dengan pembentukan kesempurnaan iman. Iman amat berkait rapat dengan hati atau jiwa. Sekiranya sesuap makanan itu tidak halal ia memberi kesan langsung terhadap peningkatan iman dan takwa seseorang itu kepada Allah. Jika hatinya dicemari dengan unsur-unsur yang boleh melemahkan keimanan dan keyakinan yang menjadi dasar kehidupan umat Islam.

Sabda Nabi yang diriwayatkan daripada Anas bermaksud: Tidak lurus iman seseorang hamba hingga (lurus dulu) hatinya. Iman yang mantap akan menggerakkan kepada amal kebaikan dan sebaliknya.

Kebaikan dan kejahatan amat bergantung kepada hatinya sebagai pusat menggerakkan arahan. Hati dan jiwa perlu dipelihara dan disuburkan dengan iktiqad yang benar, kepercayaan yang luhur dan keyakinan yang bersih daripada sebarang kekotoran. Untuk menjadi umat yang kuat dari segi mental dan fizikal, pemakanan yang berkualiti dan seimbang wajar dibudayakan sebaiknya. Fitrah kejadian manusia menghendaki setiap apa yang diterima oleh tubuh badan mestilah yang terbaik. Tubuh yang baik akan mencerna kehidupan yang produktif dan progresif, seterusnya menjadi umat yang terbaik.

Kesejahteraan hidup haruslah diusahakan oleh tangan manusia, sekiranya manusia lalai dan alpa, maka akan lahirlah masyarakat yang lemah dan tidak bermaya.

Percampuran makanan halal & tidak halal


Menurut Imam Syafie, sekiranya berlaku percampuran yakni makanan halal dan tidak halal yang tidak boleh dipisahkan, maka akan dimenangkan yang haram yakni makanan itu haram dimakan. Rasulullah SAW bersabda kepada Saad bin Abi Waqas yang meminta Baginda bermohon kepada Allah supaya doanya diterima: "Hai Saad, baguskanlah makanan engkau. Nescaya engkau adalah orang yang diperkenankan permintaannya dan demi diri Muhammad di tangannya sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan (menyuapkan) makanan ke perutnya tiada diterima Allah daripada amalnya 40 hari dan mana-mana hamba yang tumbuh dagingnya dari benda yang haram maka api neraka lebih layak dengannya."

Hadis ini sudah cukup menjadi iktibar kepada kita supaya menjauhi makanan yang haram. Seharusnya kita memperhalusi jika selama ini doa kita tidak dimakbulkan oleh Allah. Perincikanlah di mana salah kita, pekerjaan, makanan dan adakah kita berusaha dalam hidup ini hanya sekadar untuk memenuhi perut kita? Bagaimana mungkin hati yang kotor akan dikabulkan doanya? Bagaimana mungkin perut yang terisi daripada makanan yang haram itu dapat menjelmakan keperibadian yang soleh?

Pengamalan memakan makanan yang datang dari sumber halal mempunyai keberkatan. Misalnya rasa bahagia, jiwa rasa tenteram, mempunyai anak-anak yang baik dan bertanggungjawab, rasa sentiasa cukup dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT dan sebagainya.

Doa tak dimakbulkan apa sebabnya...

Memakan makanan tidak halal atau 'syubhah' itu boleh menyebabkan doa seseorang itu tidak diterima Allah.Halal adalah prasyarat kepada penerimaan doa. Maknanya Allah tidak akan terima doa orang yang mengandungi bahan haram dalam tubuhnya termasuklah pakaian yang dipakai dan harta yang dimilikinya.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan Abu Muslim dari Abu Hurairah: "Di antara nilai hukum yang diisyaratkan ialah peri mustahaknya makanan yang halal bagi orang yang beriman dalam hubungannya dengan ibadat dan doanya kerana untuk penyempurnaannya tidak sahaja dikehendaki kepada kebaikan apa yang dikerjakannya tetapi memerlukan pula kepada halal makanan dan pakaian yang digunakan setiap hari."

Pada zaman Nabi Musa AS ada dikisahkan seorang yang berdoa bersungguh-sungguh dengan tangannya diangkatkan ke langit tetapi doanya tidak diterima Allah. Nabi Musa berasa hairan kerana doa lelaki tersebut tidak diterima Allah. Lalu Nabi Musa bertanya kepada Allah mengapakah doa lelaki itu tidak diterima. Allah menjawab, doanya tidak diterima kerana di dalam perutnya ada benda yang haram dan di belakangnya ada juga benda yang haram (pakaiannya). Malah di rumahnya turut dipenuhi dengan benda yang haram dan disebabkan itulah doanya tidak diterima.

Bagi diri setiap orang Islam, penerimaan doa oleh Allah S.W.T itu sangat penting kerana doa adalah otak kepada segala ibadat. Ia juga bermaksud sekiranya 'otak' itu cacat, maka ibadat lain turut cacat sama. Bagi orang beriman, doa adalah satu kekuatan yang Allah kurniakan kepada manusia khususnya bagi orang teraniaya yang mana doanya amat makbul dan diterima Allah.

Amalan mengikut islam

Tubuh badan manusia adalah satu organisma hidup yang amat hebat kerana berkeupayaan untuk mengawal, membesar, memperbaiki, dan mempertahankan diri sekiranya kita mengamalkan pengambilan makanan yang seimbang, bermutu tiinggi dan semula jadi.

Di dalam memilih makanan, Islam menekankan agar umatnya mencari yang halal serta baik. Ini kerana faham halalan tayyiban yang dianjurkan dalam Al Quran mencerminkan kepada kita bahawa Islam itu syumul hatta di dalam bab pemilihan makanan sekalipun diperincikan dengan faham yang cukup lengkap panduannya.

Intipatinya mudah,

1. pilih makanan yang halal

2. sumber rezeki yang halal

3. menekankan unsur mutu makanan iaitu pemakanan yang sihat serta makanan yang baik dan bersih untuk kesihatan.

Jika sebelum ini kita hanya terus menyuapkan apa yang kita mahu makan ke dalam mulut kita, ubah pemikiran kita kepada berfikir sejenak sama ada makanan yang kita makan itu halal ataupun tidak. Ini juga adalah untuk kebaikan kita dan juga generasi kita.

Makanan yang kita makan adalah bermutu jika menepati cirri-ciri makanan yang seimbang. Kita hendaklah memikirkan demi kebaikan kita untuk memantapkan lagi kesihatan kita. Salh bin Saad pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengamalkan pemakanan buah tembikai berserta dengan buah tamar dan amalan ini merupakan satu pendekatan yang dipamerkan oleh baginda dalam pola pemakanan yang seimbang.

Mungkin di kalangan kita tidak memperhalusi erti tayyib sebenar dan mengambil mudah tentangnya sebelum ini. Namun, kita boleh menanamkan niat agar kita menekankan soal keselamatan makanan yang merangkumi soal kebersihan dan keracunan makanan. Apabila ingin mengubah selera makan diluar, sebagai pengguna yang bijaksana perlulah memilih kedai yang bersih, makanan yang halal lagi baik dan selamat. Penyajian makanan juga tidak meragukan kita. Di dalam satu hadis, Anas Ibn Malik meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW membersihkan buah kurma terlebih dahulu sebelum makan. Ini menunjukkan walaupun buah kurma itu makanan yang segar, ia mungkin tercemar oleh debu atau benda- benda lain yang menyebabkan ia tidak elok untuk dimakan. Oleh itu, membasuhnya adalah salah satu cara untuk kita mengekalkan keselamatan makanan tersebut.

Dalam sudut lain mengenai pemakanan, kadang- kadang ramai di antara kita bimbang dengan penampilan saiz badan masing- masing terutamanya wanita. Mungkin ada di kalangan kita mengalami masalah kegemukan. Kegemukan bukan sekadar masalah lahiriah tetapi dari sudut kesihatan ia mungkin mendatang bahaya yang lebih besar iaitu penyakit berkaitan jantung. Ia amat membimbangkan kerana penyakit ini dapat membunuh manusia secara senyap tanpa disedari. Oleh itu, pemakanan yang sihat dapat menjamin bentuk badan yang cantik secara langsung kesihatan yang baik. Bagi yang memiliki bentuk badan yang tidak memuaskan, dengan gaya pemakanan yang seimbang dan senaman yang berkala dapat menurunkan berat badan kepada bentuk yang diingini. Oleh itu, tiket atas dasar kesihatan mungkin menjadi satu titik tolak untuk kita berusaha mencapai berat badan yang unggul dalam memperbaiki taraf kesihatan yang lebih baik. Dengan azam yang kental, kita dapat menterjemahkan impian kita kepada kenyataan.

Dilema Makanan Hari ini

Makanan adalah sumber utama kehidupan manusia. Umat ISLAM adalah suatu umat yang telah disyari’atkan oleh ALLAH swt. dengan mewajibkan memakan dari sumber yang HALAALAN THOYYIBA... HALAL lagi baik.

Pencernaan dalam sistem tubuh badan manusia mengikut apa yang dimakan. Jika makanan itu HALAL maka terbitlah budipekerti yang mulia, dan jika sumber atau makanan itu HARAM maka terbitlah perangai-perangai keji yang dicela syarak. Disamping itu, selain daripada makanan peralatan luaran seperti kosmetik, dandanan diri, keperluan harian dan sebagainya juga merupakan barang kegunaan utama umat ISLAM. Adakah diyakini semuanya itu HALAL LAGI BAIK?

PRODUK YANG ANDA GUNA HARI INI!

Perlu anda ingat, kebanyakan kilang pengeluaran produk makanan atau lainnya bukanlah dari pengilang orang ISLAM meskipun mendapat sijil HALAL, namun persoalannya: “BERMULANYA KESUCIAN ITU ADALAH DARI TANGAN-TANGAN Orang Yang Mempunyai Kalimah Laailaaha illallah… Muhammadur Rasulullah…Iaitu pastinya Orang MUSLIM…. Yang dimakan itu bukan sahaja makanan dari tangannya tetapi juga RUH ISLAMnya itu yang diperlukan.

FAHAM ORANG BUKAN ISLAM

Orang bukan ISLAM sudah pasti tidak akan memahami apa itu erti “SUCI”? Pada mereka memadai dengan tidak memasuki babi atau arak dalam makanan itu sudah cukup untuk dinilai “SUCI”. Walhal sebelum datang ke kilang baru sebentar tadi mereka membelai-belai anjing kesayangan mereka atau makan khinzir; dan dengan tangan itu jugalah yang menguli tepung untuk dibuat roti atau biskut yang bakal dijual pada umat ISLAM!

PENILAIAN SUCI:

Oleh yang demikian penilaian suci itu tidaklah boleh diambil mudah oleh pengguna ISLAM kerana ia akan memberi kesan pada kehidupan seseorang dari segi agamanya iaitu ketaatannya pada ALLAH dan Rasul-Nya. Sebab itulah hari ini ramai yang menjadi ISLAM di sisi manusia tapi kufur di sisi ALLAH kerana mengabaikan tuntutan syarak.

APAKAH KAITANNYA PRODUK HARAM DENGAN LEMAHNYA ORANG MUSLIM AKHIR-AKHIR INI?

Akibat dari banyak makan makanan yang tidak HALAALAN THOYYIBA menjadikan orang-orang ISLAM cintakan dunia dan kejahatan lebih dari akhirat. Hati menjadi semakin keras, gelap dan sukar dididik. Patuh dan cinta kepada maksiat lebih dari cintakan kebaikan dan akhirat.

Hilang semangat berjuang untuk ISLAM kerana daging yang tumbuh dalam badan banyak terhasil dari makanan yang HARAM atau syubhat.Sanggup dan taat kepada perjuangan musuh-musuh ALLAH kerana mereka mencipta makanan yang boleh mengubah minda dan mentaliti orang-orang ISLAM yang lalai dan ingkar dengan ALLAH dan Rasul-Nya.

TANGGUNGJAWAB ORANG-ORANG ISLAM.

Mempelajari bidang-bidang khusus dalam pemakanan dan pembuatan supaya menjadi pakar dalam menyediakan produk HALAALAN THOYYIBA.

Menjadi usahawan dalam perusahaan produk-produk HALAALAN THOYYIBA.

Mendidik umat ISLAM tentang kesan dan akibatnya dari makan makanan yang tidak HALAALAN THOYYIBA.

Menubuhkan pusat penjualan produk-produk HALAALAN THOYYIBA dan berusaha menjauhi serta zuhud dari produk-produk haram. Mempelajari dan mengetahui tentang bahan-bahan produk haram.

APA TUGAS ANDA?

Untuk memastikan kita dapat TAAT PERINTAH ALLAH SWT. DAN IKUT SUNNAH RASULULLAH SAW. Maka anda hendaklah lebih ZUHUD dalam memilih produk dan memastikan produk itu HALAALAN THOYYIBA. Sokongan anda kepada produk keluaran pengilang ISLAM sangat-sangatlah dialu-alukan sebagai fardhu ‘ain.

Umar al-Khatab menjaga makan dan minum

UMAR al-Khatab adalah khalifah yang menggantikan Abu Bakar as-Siddiq. Umar seorang yang tegas dan terkenal dengan sifatnya yang adil, berani serta cekap semasa memerintah. Umar al-Khatab dilahirkan pada tahun 584 Masihi berasal daripada Bani Adi berketurunan Quraisy. Baginda adalah khalifah Islam kedua yang memerintah pada tahun 13 Hijrah hingga 23 Hijrah. Nabi Muhammad memberi gelaran al-Faruq kepada beliau. Gelaran tersebut diberi kerana selepas memeluk Islam bagidan memberikan semangat baru kepada umat Islam untuk mengamalkan ajaran itu secara terang-terangan di Kota Mekah.

Baginda juga adalah khalifah pertama yang mendapat gelaran Amir al-Mukminin.

Pada zaman masyarakat jahiliah, Umar merupakan seorang saudagar. Umar dilantik menjadi khalifah kedua berdasarkan wasiat yang dibuat oleh Abu Bakar dan mendapat persetujuan ramai.

Umar meninggal dunia pada 23 Hijrah kerana ditikam oleh Abu Lu'lu iaitu seorang hamba berketurunan Parsi. Zaman pemerintahan Umar dianggap sebagai 'zaman keemasan' kerajaan Islam di Mekah. Banyak pembaharuan dilaksanakan oleh baginda termasuklah bidang politik, sosial, pertahanan dan ekonomi.

Dalam bidang sosial, baginda mengembangkan pendidikan al-Quran dan memperkenalkan kalendar Islam yang berasaskan tahun Hijrah.

Di zaman Umar juga, banyak negara berada dalam kekuasaan Islam termasuk Baitulmaqdis.

Malah di Baitulmaqdis ketika itu terdapat seorang Paderi Besar yang enggan membuat sebarang perjanjian dengan orang lain kecuali dengan Umar. Peribadi baginda yang adil dan berani menjadikan Umar terkenal sebagai seorang sahabat Nabi yang dikagumi di kalangan umat Islam.

Umar juga seorang yang sentiasa menjaga makan dan minumnya daripada sumber yang halal. Pada suatu hari ada seorang lelaki membawa secawan susu buat Umar. Kerana dahaga, baginda terus meminum susu itu tanpa mengetahui dari ia diperoleh. Sesudah meminum susu itu beliau berasa pelik dengan rasa susu itu.

Tanpa berlengah, Umar bertanya kepada lelaki itu: "Dari manakah kamu dapat susu ini?"

Kemudian lelaki itu menjawab: "Saya mendapat susu ini daripada pengembala unta yang duduk menunggu unta yang disedekahkan di padang pasir di sana. Unta-untanya itu meragut rumput di situ."

Umar terkejut lalu menjolokkan jarinya ke dalam kerongkong memuntahkan air susu yang diminum.

Baginda berbuat demikian kerana tidak mengetahui asal usul pengembala dan rumput yang dimakan oleh unta itu milik siapa.

Pernah dilaporkan bahawa Umar juga seorang yang sangat berhati-hati, dan tidak mementingkan diri. Kisah ini terjadi ketika khalifah itu mendapat kasturi dari Bahrain. Umar mendapat beberapa kilo kasturi. Beliau mempunyai masalah menimbang semua kasturi itu. Beliau berhajat memberikan kasturi itu secara sama rata kepada orang Islam yang berada di kawasannya.

"Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini. Saya mahu mengagihkan kasturi ini kepada semua orang Islam yang ada di sini supaya mereka dapat buah ini," kata Umar.

Mendengar berita itu, isterinya menawarkan diri menimbang kasturi itu. "Saya pandai menimbang kasturi itu," kata isteri Umar.

Umar tidak berkata apa-apa. Sejenak kemudian, beliau bersuara: "Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini?" Tidak ada orang yang menjawab.

Tetapi isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbangnya. "Saya pandai menimbang kasturi itu," kata isterinya itu. Umar hanya mendiamkan dirinya.

Kali ini masuk kali ketiga Umar bertanyakan soalan yang sama: "Siapakah yang mahu menimbang kasturi ini?"

Secara sukarela isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbang. Pada kali ini Umar tidak berdiam diri lalu beliau berkata: "Saya tidak mahu kamu menyentuh kasturi itu kerana bau kasturi itu nanti pasti kamu sapukan kepada badanmu. Itu bukan hak kita."

Oleh kerana itu, Umar mahu orang lain selain daripada ahli keluarganya yang menimbang kasturi tersebut. Umar tidak mahu kedudukan dan kelebihannya sebagai khalifah disalahgunakan oleh ahli keluarga.

Makanan halal pelihara hati & bentuk peribadi mulia

PEMILIHAN makanan perlu diambil perhatian kerana pada zaman ini umat Islam terdedah dengan pelbagai jenis makanan yang dihasilkan pengusaha bukan Islam. Memandangkan kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan hab halal, peluang ini adalah cara terbaik untuk kita memilih makanan yang benar-benar halal, baik dan berkhasiat.

Ini sejajar seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 168, bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak syaitan…”

Makanan haram akan menjejaskan ibadat kita kepada Allah SWT kerana setiap kali kita berhadapan dengan Allah SWT ketika menunaikan solat, kita hendaklah berada dalam keadaan bersih dan suci. Pada masa sama, ada ketikanya kita terlupa mengenai apa yang kita makan.

Bagaimanakah penerimaan Allah SWT terhadap ibadat serta doa kita sekiranya kita tidak menjaga pemakanan kita?

Kesucian batin amat dititikberatkan oleh Islam kerana ia memudahkan seseorang itu untuk mendapat petunjuk serta membentuk peribadi mulia sebagai seorang Muslim.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Saidina Ali ra, Nabi ada bersabda yang bermaksud:

“Wahai Ali! Sesiapa makan makanan yang halal, maka cerahlah fahaman agamanya dan lembutlah hatinya dan tidak tertutup doanya kepada Allah.”

Hati bersih juga memudahkan seseorang itu untuk menerima ilmu yang akan membimbing kehidupannya ke arah jalan diredhai Allah SWT. Ramai umat Islam hari ini berpeluang melanjutkan pelajaran hingga peringkat tertinggi tetapi gagal menjadi Muslim sejati.

Makanan tidak halal yang masuk ke dalam perut seorang Muslim akan menjadi darah daging dan akan memberi kesan terhadap pembentukan peribadi. Kita berasa sudah cukup melakukan solat lima waktu tanpa berusaha melakukan yang sunat kerana hati berasa amat berat untuk melakukannya. Hati mudah saja terhibur dengan hiburan berbanding menghayati dan membaca al-Quran.

Sejarah menceritakan bagaimana Rasulullah SAW mengeluarkan semula buah kurma yang dimakan kedua-dua cucu Baginda, Hasan dan Husin apabila tidak mengetahui tuan punya buah yang dimakan oleh mereka.

Di sini kita melihat betapa prihatinnya Baginda terhadap apa yang dimakan oleh cucu Baginda bagi memastikan tiada apa-apa yang haram yang masuk ke dalam perut mereka.

Anak kita yang masih kecil tidak mengerti apa-apa mengenai halal dan haram. Ibu bapalah bertanggungjawab memastikan kesucian makanan yang dimakan. Pada peringkat ini, pembentukan peribadi mulia ke dalam jiwa anak amat penting agar mereka terdidik dan membesar sebagai anak yang soleh.

Makanan haram menyukarkan kita mendidik mereka kerana ia akan menggelapkan jiwa dan menyukarkan kita daripada mendapat petunjuk Allah SWT. Penyakit hati mudah hinggap seperti pemarah, panas baran, ego, dengki, bersangka buruk dan berbagai-bagai lagi.

Hasil daripada sifat yang disebutkan tadi, ada sebilangan umat Islam meninggalkan solat, menderhaka kepada ibu bapa, melawan guru, cintakan hiburan yang berlebih-lebihan, berzina, merogol, terbabit dalam lumba haram, pecah rumah dan pelbagai bentuk gejala sosial akibat kekurangan pembangunan rohani yang memerlukan penyelesaian segera.

Justeru, setiap Muslim berkewajipan memastikan makanan yang diambil memenuhi kehendak syarak agar mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Kesyumulan dan keindahan Islam dapat dipamerkan bukan hanya pada ibadat khusus saja, malah hal lain membabitkan pemakanan berrserta adabnya sekali.

Jika ditinjau dari sudut sejarah Islam, ulama terdahulu amat mementingkan status makanan yang diambil sehingga mereka berjaya membentuk peribadi Muslim sejati iaitu berilmu, beramal dan bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa.

Hati mereka jauh daripada sifat keji seperti cinta dunia, sombong, riak, takbur, hasad dengki, buruk sangka dan lain-lain lagi. Mereka sentiasa cintakan ilmu dan sanggup berkorban harta dan nyawa untuk mencarinya dengan menempuh pelbagai kesukaran.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebut bahawa dalam satu jasad ada seketul darah apabila ia rosak, akan rosaklah jasad itu tetapi apabila ia baik, maka baiklah jasad itu. Seketul darah dimaksudkan itu adalah hati. Maka, peliharalah hati kita dengan memilih makanan baik lagi halal supaya kita diberkati Allah SWT dan diterima segala amalan.

Kesan makanan halal dalam pembentukan Syakhsiah


1. Membina sifat kepimpinan.

2. Syeikh Nasir bin Muhammad Al-Samarqandy mengatakan jika manusia memiliki 6 ciri-ciri berikut layak menjadi pemimpin:

1. Mempelajari ilmu daripada para ulamak.

2. Bergaul dengan orang-orang yang warak.

3. Sumber makanannya daripada yang halal.

4. Mengajar ilmu agama kepada keluarga.

5. Memilki keperibadian yang warak dan alim.

6. memberi nafkah secukupnya kepada ahli keluarganya.

3. Memudahkan beribadat. Makanan yang halal mendatangkan keberkatan dan rajin beribadat dan menimbulkan rasa benci kepada maksiat.

4. Menjaga agama dan maruah diri.

5. Membentuk sifat warak.

6. Mengalirkan Nur dan Hikmah Dalam hati. Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa makan makanan yang halal selama 40 hari nescaya Allah mengalirkan hikmah dan Nur Allah dalam hatinya dan hikmah akan turun dalam hatinya. ( HR Abu Naim.)

7. Membentuk keimanan hakiki. Sahal Al-Tasturi berkata seseorang akan mencapai keimanan hakiki apabila memiliki 4 perkara;

1. Menunaikan segala yang difardhukan dengan diiringi amalan sunat.

2. Memakan yang halal dengan penuh kewarakan.

3. Menjauhi segala larangan Allah zahir dan batin.

4. Bersabar dalam setiap masa.