Berhati-hati ketika makan

Ramai umat islam mengambil ringan tentang soal makanan di restoran dan kedai makan yang bertanda halal. Nampak sahaja logo halal boleh dimakan. Patutkah? Bagi aku logo halal boleh dibuat sendiri, pergi sahaja kedai sticker. Dapatlah logo halal. Pikirkah kita tukang masak, bahan apa dia gunakan, kuali, sudu, garpu bercampur dengan apa? Jangan ingat “No Pork” ia halal.Tanpa kita sedari berapa banyakkah makanan yang tidak disembelih dengan sempurna dan makanan haram yang memasuki tubuh kita menyebabkan kita lalai melakukan ibadah kepada Allah s.w.t.

FIRMAN Allah bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Maka, sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedangkan dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah ayat 173)

Makan dan minum adalah suatu perkara yang harus sifatnya bagi manusia. Oleh itu, ada suruhan dan larangan daripada Allah bagi aspek pemakanan manusia. Ia adalah peraturan bagi memelihara daripada terjebak dalam kemudaratan terhadap kesihatan fizikal dan rohani. Makanan tidak halal secara maknawiyah amat memberi kesan kepada pembentukan sahsiah diri dan ahli keluarga. Islam menganjurkan agar umatnya berhati-hati dalam pengambilan sebarang bentuk pemakanan.

Begitu juga dengan sumber makanan atau rezeki yang disuapkan ke dalam mulutnya. Unsur riba, rasuah, perjudian dan hasil haram lain wajib dielakkan.

Allah membuat penegasan bahawa rezeki yang diperoleh dengan cara yang tidak halal akan diberi balasan yang setimpal di akhirat nanti.

Firman-Nya bermaksud: Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba, padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang yang kafir antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah an-Nisa ayat 161)

Rezeki daripada hasil haram akan menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Setiap suap makanan yang tidak halal, diisi ke perut akan memberikan kesan kepada tindakannya. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: Setiap daging yang tumbuh daripada makanan (sumber) yang haram, maka api nerakalah yang paling layak baginya.

Perilaku seseorang akan berubah dengan sikap atau perangai yang buruk. Tindakannya akan menjurus kepada hawa nafsu dan mengikut telunjuk syaitan.

Ingatan ini turut dirakamkan menerusi firman-Nya bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh kamu yang terang nyata bagi kamu. Ia akan menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) kamu supaya berkata (dusta) terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya). (Surah al-Baqarah ayat 168-169).

Makanan yang halal menjadi syarat utama bagi kesucian amal yang akan diterima oleh Allah. Orang yang beriman digesa agar segala amalnya bersih, jiwa dan hatinya digerakkan oleh kekuatan darah yang bersih. Sumbernya pula mestilah halal dan tubuh badannya dijauhi daripada hiasan pakaian yang bersumberkan yang haram.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani dari Ibn Abbas, katanya: Pernah aku membaca di sisi Rasulullah ayat al-Quran (bermaksud): Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik. (Surah al-Baqarah ayat 168).

Kemudian Saad Bin Abi Waqqas bangun seraya berkata: Ya Rasulullah! Aku memohon kepada Allah supaya dijadikan aku orang yang diperkenankan doanya. Lantas baginda bersabda : Wahai Saad! Baguskanlah (Makanlah) makanan engkau, nescaya engkau adalah orang yang diperkenankan doa (permintaan). Dan demi diri Muhammad di tangannya, sesungguhnya seorang hamba yang menyuapkan sesuap makanan haram ke perutnya, Allah tidak menerima amalnya 40 hari. Dan sesiapa di kalangan hamba Allah yang tumbuh dagingnya dari makanan yang haram, maka api neraka yang lebih layak baginya.

Menurut riwayat yang lain, Saad Bin Abi Waqqas yang terkenal sebagai sahabat Baginda yang diperkenankan doanya. Beliau berkata: Bahawa aku tidak pernah mengangkat sesuap makanan ke mulutku melainkan aku tahu dari mana datangnya dan dari mana keluarnya.

Sabda Rasulullah daripada Abu Hurairah bermaksud: Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang mukmin apa-apa yang Dia perintahkan kepada Rasul.

Maka, Allah berfirman bermaksud: Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakan amal-amal yang soleh. Dan Dia berfirman: Wahai orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.

Kemudian ia menyebutkan seseorang lelaki yang jauh perjalanan, yang kusut rambutnya lagi berdebu mukanya, lalu ia menadah kedua-dua tangannya ke langit (berdoa):

Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram, dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya? ( riwayat Muslim)

Faktor lain yang menjurus kepada aspek penting dalam mengambil makanan yang halal juga bersangkut-paut dengan pembentukan kesempurnaan iman. Iman amat berkait rapat dengan hati atau jiwa. Sekiranya sesuap makanan itu tidak halal ia memberi kesan langsung terhadap peningkatan iman dan takwa seseorang itu kepada Allah. Jika hatinya dicemari dengan unsur-unsur yang boleh melemahkan keimanan dan keyakinan yang menjadi dasar kehidupan umat Islam.

Sabda Nabi yang diriwayatkan daripada Anas bermaksud: Tidak lurus iman seseorang hamba hingga (lurus dulu) hatinya. Iman yang mantap akan menggerakkan kepada amal kebaikan dan sebaliknya.

Kebaikan dan kejahatan amat bergantung kepada hatinya sebagai pusat menggerakkan arahan. Hati dan jiwa perlu dipelihara dan disuburkan dengan iktiqad yang benar, kepercayaan yang luhur dan keyakinan yang bersih daripada sebarang kekotoran. Untuk menjadi umat yang kuat dari segi mental dan fizikal, pemakanan yang berkualiti dan seimbang wajar dibudayakan sebaiknya. Fitrah kejadian manusia menghendaki setiap apa yang diterima oleh tubuh badan mestilah yang terbaik. Tubuh yang baik akan mencerna kehidupan yang produktif dan progresif, seterusnya menjadi umat yang terbaik.

Kesejahteraan hidup haruslah diusahakan oleh tangan manusia, sekiranya manusia lalai dan alpa, maka akan lahirlah masyarakat yang lemah dan tidak bermaya.

Percampuran makanan halal & tidak halal


Menurut Imam Syafie, sekiranya berlaku percampuran yakni makanan halal dan tidak halal yang tidak boleh dipisahkan, maka akan dimenangkan yang haram yakni makanan itu haram dimakan. Rasulullah SAW bersabda kepada Saad bin Abi Waqas yang meminta Baginda bermohon kepada Allah supaya doanya diterima: "Hai Saad, baguskanlah makanan engkau. Nescaya engkau adalah orang yang diperkenankan permintaannya dan demi diri Muhammad di tangannya sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan (menyuapkan) makanan ke perutnya tiada diterima Allah daripada amalnya 40 hari dan mana-mana hamba yang tumbuh dagingnya dari benda yang haram maka api neraka lebih layak dengannya."

Hadis ini sudah cukup menjadi iktibar kepada kita supaya menjauhi makanan yang haram. Seharusnya kita memperhalusi jika selama ini doa kita tidak dimakbulkan oleh Allah. Perincikanlah di mana salah kita, pekerjaan, makanan dan adakah kita berusaha dalam hidup ini hanya sekadar untuk memenuhi perut kita? Bagaimana mungkin hati yang kotor akan dikabulkan doanya? Bagaimana mungkin perut yang terisi daripada makanan yang haram itu dapat menjelmakan keperibadian yang soleh?

Pengamalan memakan makanan yang datang dari sumber halal mempunyai keberkatan. Misalnya rasa bahagia, jiwa rasa tenteram, mempunyai anak-anak yang baik dan bertanggungjawab, rasa sentiasa cukup dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT dan sebagainya.

Doa tak dimakbulkan apa sebabnya...

Memakan makanan tidak halal atau 'syubhah' itu boleh menyebabkan doa seseorang itu tidak diterima Allah.Halal adalah prasyarat kepada penerimaan doa. Maknanya Allah tidak akan terima doa orang yang mengandungi bahan haram dalam tubuhnya termasuklah pakaian yang dipakai dan harta yang dimilikinya.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan Abu Muslim dari Abu Hurairah: "Di antara nilai hukum yang diisyaratkan ialah peri mustahaknya makanan yang halal bagi orang yang beriman dalam hubungannya dengan ibadat dan doanya kerana untuk penyempurnaannya tidak sahaja dikehendaki kepada kebaikan apa yang dikerjakannya tetapi memerlukan pula kepada halal makanan dan pakaian yang digunakan setiap hari."

Pada zaman Nabi Musa AS ada dikisahkan seorang yang berdoa bersungguh-sungguh dengan tangannya diangkatkan ke langit tetapi doanya tidak diterima Allah. Nabi Musa berasa hairan kerana doa lelaki tersebut tidak diterima Allah. Lalu Nabi Musa bertanya kepada Allah mengapakah doa lelaki itu tidak diterima. Allah menjawab, doanya tidak diterima kerana di dalam perutnya ada benda yang haram dan di belakangnya ada juga benda yang haram (pakaiannya). Malah di rumahnya turut dipenuhi dengan benda yang haram dan disebabkan itulah doanya tidak diterima.

Bagi diri setiap orang Islam, penerimaan doa oleh Allah S.W.T itu sangat penting kerana doa adalah otak kepada segala ibadat. Ia juga bermaksud sekiranya 'otak' itu cacat, maka ibadat lain turut cacat sama. Bagi orang beriman, doa adalah satu kekuatan yang Allah kurniakan kepada manusia khususnya bagi orang teraniaya yang mana doanya amat makbul dan diterima Allah.

Amalan mengikut islam

Tubuh badan manusia adalah satu organisma hidup yang amat hebat kerana berkeupayaan untuk mengawal, membesar, memperbaiki, dan mempertahankan diri sekiranya kita mengamalkan pengambilan makanan yang seimbang, bermutu tiinggi dan semula jadi.

Di dalam memilih makanan, Islam menekankan agar umatnya mencari yang halal serta baik. Ini kerana faham halalan tayyiban yang dianjurkan dalam Al Quran mencerminkan kepada kita bahawa Islam itu syumul hatta di dalam bab pemilihan makanan sekalipun diperincikan dengan faham yang cukup lengkap panduannya.

Intipatinya mudah,

1. pilih makanan yang halal

2. sumber rezeki yang halal

3. menekankan unsur mutu makanan iaitu pemakanan yang sihat serta makanan yang baik dan bersih untuk kesihatan.

Jika sebelum ini kita hanya terus menyuapkan apa yang kita mahu makan ke dalam mulut kita, ubah pemikiran kita kepada berfikir sejenak sama ada makanan yang kita makan itu halal ataupun tidak. Ini juga adalah untuk kebaikan kita dan juga generasi kita.

Makanan yang kita makan adalah bermutu jika menepati cirri-ciri makanan yang seimbang. Kita hendaklah memikirkan demi kebaikan kita untuk memantapkan lagi kesihatan kita. Salh bin Saad pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengamalkan pemakanan buah tembikai berserta dengan buah tamar dan amalan ini merupakan satu pendekatan yang dipamerkan oleh baginda dalam pola pemakanan yang seimbang.

Mungkin di kalangan kita tidak memperhalusi erti tayyib sebenar dan mengambil mudah tentangnya sebelum ini. Namun, kita boleh menanamkan niat agar kita menekankan soal keselamatan makanan yang merangkumi soal kebersihan dan keracunan makanan. Apabila ingin mengubah selera makan diluar, sebagai pengguna yang bijaksana perlulah memilih kedai yang bersih, makanan yang halal lagi baik dan selamat. Penyajian makanan juga tidak meragukan kita. Di dalam satu hadis, Anas Ibn Malik meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW membersihkan buah kurma terlebih dahulu sebelum makan. Ini menunjukkan walaupun buah kurma itu makanan yang segar, ia mungkin tercemar oleh debu atau benda- benda lain yang menyebabkan ia tidak elok untuk dimakan. Oleh itu, membasuhnya adalah salah satu cara untuk kita mengekalkan keselamatan makanan tersebut.

Dalam sudut lain mengenai pemakanan, kadang- kadang ramai di antara kita bimbang dengan penampilan saiz badan masing- masing terutamanya wanita. Mungkin ada di kalangan kita mengalami masalah kegemukan. Kegemukan bukan sekadar masalah lahiriah tetapi dari sudut kesihatan ia mungkin mendatang bahaya yang lebih besar iaitu penyakit berkaitan jantung. Ia amat membimbangkan kerana penyakit ini dapat membunuh manusia secara senyap tanpa disedari. Oleh itu, pemakanan yang sihat dapat menjamin bentuk badan yang cantik secara langsung kesihatan yang baik. Bagi yang memiliki bentuk badan yang tidak memuaskan, dengan gaya pemakanan yang seimbang dan senaman yang berkala dapat menurunkan berat badan kepada bentuk yang diingini. Oleh itu, tiket atas dasar kesihatan mungkin menjadi satu titik tolak untuk kita berusaha mencapai berat badan yang unggul dalam memperbaiki taraf kesihatan yang lebih baik. Dengan azam yang kental, kita dapat menterjemahkan impian kita kepada kenyataan.

Dilema Makanan Hari ini

Makanan adalah sumber utama kehidupan manusia. Umat ISLAM adalah suatu umat yang telah disyari’atkan oleh ALLAH swt. dengan mewajibkan memakan dari sumber yang HALAALAN THOYYIBA... HALAL lagi baik.

Pencernaan dalam sistem tubuh badan manusia mengikut apa yang dimakan. Jika makanan itu HALAL maka terbitlah budipekerti yang mulia, dan jika sumber atau makanan itu HARAM maka terbitlah perangai-perangai keji yang dicela syarak. Disamping itu, selain daripada makanan peralatan luaran seperti kosmetik, dandanan diri, keperluan harian dan sebagainya juga merupakan barang kegunaan utama umat ISLAM. Adakah diyakini semuanya itu HALAL LAGI BAIK?

PRODUK YANG ANDA GUNA HARI INI!

Perlu anda ingat, kebanyakan kilang pengeluaran produk makanan atau lainnya bukanlah dari pengilang orang ISLAM meskipun mendapat sijil HALAL, namun persoalannya: “BERMULANYA KESUCIAN ITU ADALAH DARI TANGAN-TANGAN Orang Yang Mempunyai Kalimah Laailaaha illallah… Muhammadur Rasulullah…Iaitu pastinya Orang MUSLIM…. Yang dimakan itu bukan sahaja makanan dari tangannya tetapi juga RUH ISLAMnya itu yang diperlukan.

FAHAM ORANG BUKAN ISLAM

Orang bukan ISLAM sudah pasti tidak akan memahami apa itu erti “SUCI”? Pada mereka memadai dengan tidak memasuki babi atau arak dalam makanan itu sudah cukup untuk dinilai “SUCI”. Walhal sebelum datang ke kilang baru sebentar tadi mereka membelai-belai anjing kesayangan mereka atau makan khinzir; dan dengan tangan itu jugalah yang menguli tepung untuk dibuat roti atau biskut yang bakal dijual pada umat ISLAM!

PENILAIAN SUCI:

Oleh yang demikian penilaian suci itu tidaklah boleh diambil mudah oleh pengguna ISLAM kerana ia akan memberi kesan pada kehidupan seseorang dari segi agamanya iaitu ketaatannya pada ALLAH dan Rasul-Nya. Sebab itulah hari ini ramai yang menjadi ISLAM di sisi manusia tapi kufur di sisi ALLAH kerana mengabaikan tuntutan syarak.

APAKAH KAITANNYA PRODUK HARAM DENGAN LEMAHNYA ORANG MUSLIM AKHIR-AKHIR INI?

Akibat dari banyak makan makanan yang tidak HALAALAN THOYYIBA menjadikan orang-orang ISLAM cintakan dunia dan kejahatan lebih dari akhirat. Hati menjadi semakin keras, gelap dan sukar dididik. Patuh dan cinta kepada maksiat lebih dari cintakan kebaikan dan akhirat.

Hilang semangat berjuang untuk ISLAM kerana daging yang tumbuh dalam badan banyak terhasil dari makanan yang HARAM atau syubhat.Sanggup dan taat kepada perjuangan musuh-musuh ALLAH kerana mereka mencipta makanan yang boleh mengubah minda dan mentaliti orang-orang ISLAM yang lalai dan ingkar dengan ALLAH dan Rasul-Nya.

TANGGUNGJAWAB ORANG-ORANG ISLAM.

Mempelajari bidang-bidang khusus dalam pemakanan dan pembuatan supaya menjadi pakar dalam menyediakan produk HALAALAN THOYYIBA.

Menjadi usahawan dalam perusahaan produk-produk HALAALAN THOYYIBA.

Mendidik umat ISLAM tentang kesan dan akibatnya dari makan makanan yang tidak HALAALAN THOYYIBA.

Menubuhkan pusat penjualan produk-produk HALAALAN THOYYIBA dan berusaha menjauhi serta zuhud dari produk-produk haram. Mempelajari dan mengetahui tentang bahan-bahan produk haram.

APA TUGAS ANDA?

Untuk memastikan kita dapat TAAT PERINTAH ALLAH SWT. DAN IKUT SUNNAH RASULULLAH SAW. Maka anda hendaklah lebih ZUHUD dalam memilih produk dan memastikan produk itu HALAALAN THOYYIBA. Sokongan anda kepada produk keluaran pengilang ISLAM sangat-sangatlah dialu-alukan sebagai fardhu ‘ain.

Umar al-Khatab menjaga makan dan minum

UMAR al-Khatab adalah khalifah yang menggantikan Abu Bakar as-Siddiq. Umar seorang yang tegas dan terkenal dengan sifatnya yang adil, berani serta cekap semasa memerintah. Umar al-Khatab dilahirkan pada tahun 584 Masihi berasal daripada Bani Adi berketurunan Quraisy. Baginda adalah khalifah Islam kedua yang memerintah pada tahun 13 Hijrah hingga 23 Hijrah. Nabi Muhammad memberi gelaran al-Faruq kepada beliau. Gelaran tersebut diberi kerana selepas memeluk Islam bagidan memberikan semangat baru kepada umat Islam untuk mengamalkan ajaran itu secara terang-terangan di Kota Mekah.

Baginda juga adalah khalifah pertama yang mendapat gelaran Amir al-Mukminin.

Pada zaman masyarakat jahiliah, Umar merupakan seorang saudagar. Umar dilantik menjadi khalifah kedua berdasarkan wasiat yang dibuat oleh Abu Bakar dan mendapat persetujuan ramai.

Umar meninggal dunia pada 23 Hijrah kerana ditikam oleh Abu Lu'lu iaitu seorang hamba berketurunan Parsi. Zaman pemerintahan Umar dianggap sebagai 'zaman keemasan' kerajaan Islam di Mekah. Banyak pembaharuan dilaksanakan oleh baginda termasuklah bidang politik, sosial, pertahanan dan ekonomi.

Dalam bidang sosial, baginda mengembangkan pendidikan al-Quran dan memperkenalkan kalendar Islam yang berasaskan tahun Hijrah.

Di zaman Umar juga, banyak negara berada dalam kekuasaan Islam termasuk Baitulmaqdis.

Malah di Baitulmaqdis ketika itu terdapat seorang Paderi Besar yang enggan membuat sebarang perjanjian dengan orang lain kecuali dengan Umar. Peribadi baginda yang adil dan berani menjadikan Umar terkenal sebagai seorang sahabat Nabi yang dikagumi di kalangan umat Islam.

Umar juga seorang yang sentiasa menjaga makan dan minumnya daripada sumber yang halal. Pada suatu hari ada seorang lelaki membawa secawan susu buat Umar. Kerana dahaga, baginda terus meminum susu itu tanpa mengetahui dari ia diperoleh. Sesudah meminum susu itu beliau berasa pelik dengan rasa susu itu.

Tanpa berlengah, Umar bertanya kepada lelaki itu: "Dari manakah kamu dapat susu ini?"

Kemudian lelaki itu menjawab: "Saya mendapat susu ini daripada pengembala unta yang duduk menunggu unta yang disedekahkan di padang pasir di sana. Unta-untanya itu meragut rumput di situ."

Umar terkejut lalu menjolokkan jarinya ke dalam kerongkong memuntahkan air susu yang diminum.

Baginda berbuat demikian kerana tidak mengetahui asal usul pengembala dan rumput yang dimakan oleh unta itu milik siapa.

Pernah dilaporkan bahawa Umar juga seorang yang sangat berhati-hati, dan tidak mementingkan diri. Kisah ini terjadi ketika khalifah itu mendapat kasturi dari Bahrain. Umar mendapat beberapa kilo kasturi. Beliau mempunyai masalah menimbang semua kasturi itu. Beliau berhajat memberikan kasturi itu secara sama rata kepada orang Islam yang berada di kawasannya.

"Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini. Saya mahu mengagihkan kasturi ini kepada semua orang Islam yang ada di sini supaya mereka dapat buah ini," kata Umar.

Mendengar berita itu, isterinya menawarkan diri menimbang kasturi itu. "Saya pandai menimbang kasturi itu," kata isteri Umar.

Umar tidak berkata apa-apa. Sejenak kemudian, beliau bersuara: "Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini?" Tidak ada orang yang menjawab.

Tetapi isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbangnya. "Saya pandai menimbang kasturi itu," kata isterinya itu. Umar hanya mendiamkan dirinya.

Kali ini masuk kali ketiga Umar bertanyakan soalan yang sama: "Siapakah yang mahu menimbang kasturi ini?"

Secara sukarela isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbang. Pada kali ini Umar tidak berdiam diri lalu beliau berkata: "Saya tidak mahu kamu menyentuh kasturi itu kerana bau kasturi itu nanti pasti kamu sapukan kepada badanmu. Itu bukan hak kita."

Oleh kerana itu, Umar mahu orang lain selain daripada ahli keluarganya yang menimbang kasturi tersebut. Umar tidak mahu kedudukan dan kelebihannya sebagai khalifah disalahgunakan oleh ahli keluarga.

Makanan halal pelihara hati & bentuk peribadi mulia

PEMILIHAN makanan perlu diambil perhatian kerana pada zaman ini umat Islam terdedah dengan pelbagai jenis makanan yang dihasilkan pengusaha bukan Islam. Memandangkan kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan hab halal, peluang ini adalah cara terbaik untuk kita memilih makanan yang benar-benar halal, baik dan berkhasiat.

Ini sejajar seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 168, bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak syaitan…”

Makanan haram akan menjejaskan ibadat kita kepada Allah SWT kerana setiap kali kita berhadapan dengan Allah SWT ketika menunaikan solat, kita hendaklah berada dalam keadaan bersih dan suci. Pada masa sama, ada ketikanya kita terlupa mengenai apa yang kita makan.

Bagaimanakah penerimaan Allah SWT terhadap ibadat serta doa kita sekiranya kita tidak menjaga pemakanan kita?

Kesucian batin amat dititikberatkan oleh Islam kerana ia memudahkan seseorang itu untuk mendapat petunjuk serta membentuk peribadi mulia sebagai seorang Muslim.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Saidina Ali ra, Nabi ada bersabda yang bermaksud:

“Wahai Ali! Sesiapa makan makanan yang halal, maka cerahlah fahaman agamanya dan lembutlah hatinya dan tidak tertutup doanya kepada Allah.”

Hati bersih juga memudahkan seseorang itu untuk menerima ilmu yang akan membimbing kehidupannya ke arah jalan diredhai Allah SWT. Ramai umat Islam hari ini berpeluang melanjutkan pelajaran hingga peringkat tertinggi tetapi gagal menjadi Muslim sejati.

Makanan tidak halal yang masuk ke dalam perut seorang Muslim akan menjadi darah daging dan akan memberi kesan terhadap pembentukan peribadi. Kita berasa sudah cukup melakukan solat lima waktu tanpa berusaha melakukan yang sunat kerana hati berasa amat berat untuk melakukannya. Hati mudah saja terhibur dengan hiburan berbanding menghayati dan membaca al-Quran.

Sejarah menceritakan bagaimana Rasulullah SAW mengeluarkan semula buah kurma yang dimakan kedua-dua cucu Baginda, Hasan dan Husin apabila tidak mengetahui tuan punya buah yang dimakan oleh mereka.

Di sini kita melihat betapa prihatinnya Baginda terhadap apa yang dimakan oleh cucu Baginda bagi memastikan tiada apa-apa yang haram yang masuk ke dalam perut mereka.

Anak kita yang masih kecil tidak mengerti apa-apa mengenai halal dan haram. Ibu bapalah bertanggungjawab memastikan kesucian makanan yang dimakan. Pada peringkat ini, pembentukan peribadi mulia ke dalam jiwa anak amat penting agar mereka terdidik dan membesar sebagai anak yang soleh.

Makanan haram menyukarkan kita mendidik mereka kerana ia akan menggelapkan jiwa dan menyukarkan kita daripada mendapat petunjuk Allah SWT. Penyakit hati mudah hinggap seperti pemarah, panas baran, ego, dengki, bersangka buruk dan berbagai-bagai lagi.

Hasil daripada sifat yang disebutkan tadi, ada sebilangan umat Islam meninggalkan solat, menderhaka kepada ibu bapa, melawan guru, cintakan hiburan yang berlebih-lebihan, berzina, merogol, terbabit dalam lumba haram, pecah rumah dan pelbagai bentuk gejala sosial akibat kekurangan pembangunan rohani yang memerlukan penyelesaian segera.

Justeru, setiap Muslim berkewajipan memastikan makanan yang diambil memenuhi kehendak syarak agar mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Kesyumulan dan keindahan Islam dapat dipamerkan bukan hanya pada ibadat khusus saja, malah hal lain membabitkan pemakanan berrserta adabnya sekali.

Jika ditinjau dari sudut sejarah Islam, ulama terdahulu amat mementingkan status makanan yang diambil sehingga mereka berjaya membentuk peribadi Muslim sejati iaitu berilmu, beramal dan bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa.

Hati mereka jauh daripada sifat keji seperti cinta dunia, sombong, riak, takbur, hasad dengki, buruk sangka dan lain-lain lagi. Mereka sentiasa cintakan ilmu dan sanggup berkorban harta dan nyawa untuk mencarinya dengan menempuh pelbagai kesukaran.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebut bahawa dalam satu jasad ada seketul darah apabila ia rosak, akan rosaklah jasad itu tetapi apabila ia baik, maka baiklah jasad itu. Seketul darah dimaksudkan itu adalah hati. Maka, peliharalah hati kita dengan memilih makanan baik lagi halal supaya kita diberkati Allah SWT dan diterima segala amalan.