Dilema Makanan Hari ini

Makanan adalah sumber utama kehidupan manusia. Umat ISLAM adalah suatu umat yang telah disyari’atkan oleh ALLAH swt. dengan mewajibkan memakan dari sumber yang HALAALAN THOYYIBA... HALAL lagi baik.

Pencernaan dalam sistem tubuh badan manusia mengikut apa yang dimakan. Jika makanan itu HALAL maka terbitlah budipekerti yang mulia, dan jika sumber atau makanan itu HARAM maka terbitlah perangai-perangai keji yang dicela syarak. Disamping itu, selain daripada makanan peralatan luaran seperti kosmetik, dandanan diri, keperluan harian dan sebagainya juga merupakan barang kegunaan utama umat ISLAM. Adakah diyakini semuanya itu HALAL LAGI BAIK?

PRODUK YANG ANDA GUNA HARI INI!

Perlu anda ingat, kebanyakan kilang pengeluaran produk makanan atau lainnya bukanlah dari pengilang orang ISLAM meskipun mendapat sijil HALAL, namun persoalannya: “BERMULANYA KESUCIAN ITU ADALAH DARI TANGAN-TANGAN Orang Yang Mempunyai Kalimah Laailaaha illallah… Muhammadur Rasulullah…Iaitu pastinya Orang MUSLIM…. Yang dimakan itu bukan sahaja makanan dari tangannya tetapi juga RUH ISLAMnya itu yang diperlukan.

FAHAM ORANG BUKAN ISLAM

Orang bukan ISLAM sudah pasti tidak akan memahami apa itu erti “SUCI”? Pada mereka memadai dengan tidak memasuki babi atau arak dalam makanan itu sudah cukup untuk dinilai “SUCI”. Walhal sebelum datang ke kilang baru sebentar tadi mereka membelai-belai anjing kesayangan mereka atau makan khinzir; dan dengan tangan itu jugalah yang menguli tepung untuk dibuat roti atau biskut yang bakal dijual pada umat ISLAM!

PENILAIAN SUCI:

Oleh yang demikian penilaian suci itu tidaklah boleh diambil mudah oleh pengguna ISLAM kerana ia akan memberi kesan pada kehidupan seseorang dari segi agamanya iaitu ketaatannya pada ALLAH dan Rasul-Nya. Sebab itulah hari ini ramai yang menjadi ISLAM di sisi manusia tapi kufur di sisi ALLAH kerana mengabaikan tuntutan syarak.

APAKAH KAITANNYA PRODUK HARAM DENGAN LEMAHNYA ORANG MUSLIM AKHIR-AKHIR INI?

Akibat dari banyak makan makanan yang tidak HALAALAN THOYYIBA menjadikan orang-orang ISLAM cintakan dunia dan kejahatan lebih dari akhirat. Hati menjadi semakin keras, gelap dan sukar dididik. Patuh dan cinta kepada maksiat lebih dari cintakan kebaikan dan akhirat.

Hilang semangat berjuang untuk ISLAM kerana daging yang tumbuh dalam badan banyak terhasil dari makanan yang HARAM atau syubhat.Sanggup dan taat kepada perjuangan musuh-musuh ALLAH kerana mereka mencipta makanan yang boleh mengubah minda dan mentaliti orang-orang ISLAM yang lalai dan ingkar dengan ALLAH dan Rasul-Nya.

TANGGUNGJAWAB ORANG-ORANG ISLAM.

Mempelajari bidang-bidang khusus dalam pemakanan dan pembuatan supaya menjadi pakar dalam menyediakan produk HALAALAN THOYYIBA.

Menjadi usahawan dalam perusahaan produk-produk HALAALAN THOYYIBA.

Mendidik umat ISLAM tentang kesan dan akibatnya dari makan makanan yang tidak HALAALAN THOYYIBA.

Menubuhkan pusat penjualan produk-produk HALAALAN THOYYIBA dan berusaha menjauhi serta zuhud dari produk-produk haram. Mempelajari dan mengetahui tentang bahan-bahan produk haram.

APA TUGAS ANDA?

Untuk memastikan kita dapat TAAT PERINTAH ALLAH SWT. DAN IKUT SUNNAH RASULULLAH SAW. Maka anda hendaklah lebih ZUHUD dalam memilih produk dan memastikan produk itu HALAALAN THOYYIBA. Sokongan anda kepada produk keluaran pengilang ISLAM sangat-sangatlah dialu-alukan sebagai fardhu ‘ain.

Umar al-Khatab menjaga makan dan minum

UMAR al-Khatab adalah khalifah yang menggantikan Abu Bakar as-Siddiq. Umar seorang yang tegas dan terkenal dengan sifatnya yang adil, berani serta cekap semasa memerintah. Umar al-Khatab dilahirkan pada tahun 584 Masihi berasal daripada Bani Adi berketurunan Quraisy. Baginda adalah khalifah Islam kedua yang memerintah pada tahun 13 Hijrah hingga 23 Hijrah. Nabi Muhammad memberi gelaran al-Faruq kepada beliau. Gelaran tersebut diberi kerana selepas memeluk Islam bagidan memberikan semangat baru kepada umat Islam untuk mengamalkan ajaran itu secara terang-terangan di Kota Mekah.

Baginda juga adalah khalifah pertama yang mendapat gelaran Amir al-Mukminin.

Pada zaman masyarakat jahiliah, Umar merupakan seorang saudagar. Umar dilantik menjadi khalifah kedua berdasarkan wasiat yang dibuat oleh Abu Bakar dan mendapat persetujuan ramai.

Umar meninggal dunia pada 23 Hijrah kerana ditikam oleh Abu Lu'lu iaitu seorang hamba berketurunan Parsi. Zaman pemerintahan Umar dianggap sebagai 'zaman keemasan' kerajaan Islam di Mekah. Banyak pembaharuan dilaksanakan oleh baginda termasuklah bidang politik, sosial, pertahanan dan ekonomi.

Dalam bidang sosial, baginda mengembangkan pendidikan al-Quran dan memperkenalkan kalendar Islam yang berasaskan tahun Hijrah.

Di zaman Umar juga, banyak negara berada dalam kekuasaan Islam termasuk Baitulmaqdis.

Malah di Baitulmaqdis ketika itu terdapat seorang Paderi Besar yang enggan membuat sebarang perjanjian dengan orang lain kecuali dengan Umar. Peribadi baginda yang adil dan berani menjadikan Umar terkenal sebagai seorang sahabat Nabi yang dikagumi di kalangan umat Islam.

Umar juga seorang yang sentiasa menjaga makan dan minumnya daripada sumber yang halal. Pada suatu hari ada seorang lelaki membawa secawan susu buat Umar. Kerana dahaga, baginda terus meminum susu itu tanpa mengetahui dari ia diperoleh. Sesudah meminum susu itu beliau berasa pelik dengan rasa susu itu.

Tanpa berlengah, Umar bertanya kepada lelaki itu: "Dari manakah kamu dapat susu ini?"

Kemudian lelaki itu menjawab: "Saya mendapat susu ini daripada pengembala unta yang duduk menunggu unta yang disedekahkan di padang pasir di sana. Unta-untanya itu meragut rumput di situ."

Umar terkejut lalu menjolokkan jarinya ke dalam kerongkong memuntahkan air susu yang diminum.

Baginda berbuat demikian kerana tidak mengetahui asal usul pengembala dan rumput yang dimakan oleh unta itu milik siapa.

Pernah dilaporkan bahawa Umar juga seorang yang sangat berhati-hati, dan tidak mementingkan diri. Kisah ini terjadi ketika khalifah itu mendapat kasturi dari Bahrain. Umar mendapat beberapa kilo kasturi. Beliau mempunyai masalah menimbang semua kasturi itu. Beliau berhajat memberikan kasturi itu secara sama rata kepada orang Islam yang berada di kawasannya.

"Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini. Saya mahu mengagihkan kasturi ini kepada semua orang Islam yang ada di sini supaya mereka dapat buah ini," kata Umar.

Mendengar berita itu, isterinya menawarkan diri menimbang kasturi itu. "Saya pandai menimbang kasturi itu," kata isteri Umar.

Umar tidak berkata apa-apa. Sejenak kemudian, beliau bersuara: "Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini?" Tidak ada orang yang menjawab.

Tetapi isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbangnya. "Saya pandai menimbang kasturi itu," kata isterinya itu. Umar hanya mendiamkan dirinya.

Kali ini masuk kali ketiga Umar bertanyakan soalan yang sama: "Siapakah yang mahu menimbang kasturi ini?"

Secara sukarela isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbang. Pada kali ini Umar tidak berdiam diri lalu beliau berkata: "Saya tidak mahu kamu menyentuh kasturi itu kerana bau kasturi itu nanti pasti kamu sapukan kepada badanmu. Itu bukan hak kita."

Oleh kerana itu, Umar mahu orang lain selain daripada ahli keluarganya yang menimbang kasturi tersebut. Umar tidak mahu kedudukan dan kelebihannya sebagai khalifah disalahgunakan oleh ahli keluarga.

Makanan halal pelihara hati & bentuk peribadi mulia

PEMILIHAN makanan perlu diambil perhatian kerana pada zaman ini umat Islam terdedah dengan pelbagai jenis makanan yang dihasilkan pengusaha bukan Islam. Memandangkan kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan hab halal, peluang ini adalah cara terbaik untuk kita memilih makanan yang benar-benar halal, baik dan berkhasiat.

Ini sejajar seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 168, bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak syaitan…”

Makanan haram akan menjejaskan ibadat kita kepada Allah SWT kerana setiap kali kita berhadapan dengan Allah SWT ketika menunaikan solat, kita hendaklah berada dalam keadaan bersih dan suci. Pada masa sama, ada ketikanya kita terlupa mengenai apa yang kita makan.

Bagaimanakah penerimaan Allah SWT terhadap ibadat serta doa kita sekiranya kita tidak menjaga pemakanan kita?

Kesucian batin amat dititikberatkan oleh Islam kerana ia memudahkan seseorang itu untuk mendapat petunjuk serta membentuk peribadi mulia sebagai seorang Muslim.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Saidina Ali ra, Nabi ada bersabda yang bermaksud:

“Wahai Ali! Sesiapa makan makanan yang halal, maka cerahlah fahaman agamanya dan lembutlah hatinya dan tidak tertutup doanya kepada Allah.”

Hati bersih juga memudahkan seseorang itu untuk menerima ilmu yang akan membimbing kehidupannya ke arah jalan diredhai Allah SWT. Ramai umat Islam hari ini berpeluang melanjutkan pelajaran hingga peringkat tertinggi tetapi gagal menjadi Muslim sejati.

Makanan tidak halal yang masuk ke dalam perut seorang Muslim akan menjadi darah daging dan akan memberi kesan terhadap pembentukan peribadi. Kita berasa sudah cukup melakukan solat lima waktu tanpa berusaha melakukan yang sunat kerana hati berasa amat berat untuk melakukannya. Hati mudah saja terhibur dengan hiburan berbanding menghayati dan membaca al-Quran.

Sejarah menceritakan bagaimana Rasulullah SAW mengeluarkan semula buah kurma yang dimakan kedua-dua cucu Baginda, Hasan dan Husin apabila tidak mengetahui tuan punya buah yang dimakan oleh mereka.

Di sini kita melihat betapa prihatinnya Baginda terhadap apa yang dimakan oleh cucu Baginda bagi memastikan tiada apa-apa yang haram yang masuk ke dalam perut mereka.

Anak kita yang masih kecil tidak mengerti apa-apa mengenai halal dan haram. Ibu bapalah bertanggungjawab memastikan kesucian makanan yang dimakan. Pada peringkat ini, pembentukan peribadi mulia ke dalam jiwa anak amat penting agar mereka terdidik dan membesar sebagai anak yang soleh.

Makanan haram menyukarkan kita mendidik mereka kerana ia akan menggelapkan jiwa dan menyukarkan kita daripada mendapat petunjuk Allah SWT. Penyakit hati mudah hinggap seperti pemarah, panas baran, ego, dengki, bersangka buruk dan berbagai-bagai lagi.

Hasil daripada sifat yang disebutkan tadi, ada sebilangan umat Islam meninggalkan solat, menderhaka kepada ibu bapa, melawan guru, cintakan hiburan yang berlebih-lebihan, berzina, merogol, terbabit dalam lumba haram, pecah rumah dan pelbagai bentuk gejala sosial akibat kekurangan pembangunan rohani yang memerlukan penyelesaian segera.

Justeru, setiap Muslim berkewajipan memastikan makanan yang diambil memenuhi kehendak syarak agar mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Kesyumulan dan keindahan Islam dapat dipamerkan bukan hanya pada ibadat khusus saja, malah hal lain membabitkan pemakanan berrserta adabnya sekali.

Jika ditinjau dari sudut sejarah Islam, ulama terdahulu amat mementingkan status makanan yang diambil sehingga mereka berjaya membentuk peribadi Muslim sejati iaitu berilmu, beramal dan bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa.

Hati mereka jauh daripada sifat keji seperti cinta dunia, sombong, riak, takbur, hasad dengki, buruk sangka dan lain-lain lagi. Mereka sentiasa cintakan ilmu dan sanggup berkorban harta dan nyawa untuk mencarinya dengan menempuh pelbagai kesukaran.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebut bahawa dalam satu jasad ada seketul darah apabila ia rosak, akan rosaklah jasad itu tetapi apabila ia baik, maka baiklah jasad itu. Seketul darah dimaksudkan itu adalah hati. Maka, peliharalah hati kita dengan memilih makanan baik lagi halal supaya kita diberkati Allah SWT dan diterima segala amalan.